Ini 5 keputusan kewangan yang buat rami orang menyesal!
Perancangan kewangan merupakan suatu perkara yang membawa ketenangan dan kesejahteraan hidup, dan juga suatu perkara yang membawa kepada rasa gusar dan runsing kepada hidup seseorang.
Namun tiada guru yang lebih baik dari pengalaman. Sebuah laman komuniti pengguna Reddit di Malaysia dilontarkan persoalan tentang kesilapan kewangan yang buatkan mereka sangat menyesal lakukan.
Ini singkapan 5 keputusan paling kerap orang di Malaysia selalu buat apabila menyentuh isu persoalan kewangan. Tentulah, perkongsian ini diharap dapat memberi iktibar kepada semua orang di luar sana.
1. Tidak melabur lebih awal, ada yang terlalu selesa dalam hidup
Seorang pengguna Reddit berkongsi salah satu keputusan kewangan yang beliau ingat – tidak melabur lebih awal. Katanya, beliau hanya mulakan simpanan pada umur pertengahan 30-an kerana terlalu selesa dengan kerja kerajaan.
Selepas pandemik, beliau melihat sendiri bagaimana meningkatnya kadar inflasi dan gaji kawan-kawan lain di sektor swasta turut meningkat selepas 5 tahun bekerja. Ini membuatkan dirinya tersedar dari zon selesa dan menyesal telah membuang masa tidak melabur awal.
Ada juga pengguna lain turut berkongsi sesalan yang sama, iaitu tidak melabur lebih awal khususnya pada zaman bujang dahulu.
Waktu itu, beliau hanya melabur dalam instrumen pelaburan yang kecil dan selalu membandingkan dirinya dengan rakan-rakan yang kurang celik perihal kewangan. Akibatnya, beliau juga mulai selesa dan tidak melihat dalam jangka masa panjang.
Hanya selepas beliau berkenalan dengan bos baharunya yang sudi mengajar tentang perancangan kewangan dan pelaburan, barulah beliau mula sedar tentang potensi pelaburan. Ketika itu pula, beliau sudahpun berkahwin dan mempunyai anak.
Beliau terpaksa bertungkus lumus untuk menyimpan selama 4-5 tahun. Umur beliau sekarang sudah mencecah pertengahan 30-tahun dan sudah kembali melabur secara agresif. Jika beliau telah menyimpan dan melabur sebagaimana kadar agresifnya sekarang, mungkin beliau sudahpun rasa selamat dengan tabungan yang ada.
Baca Juga :
2. Terlalu bergantung pada kad kredit dan pelan bayaran ansuran
Seorang pengguna turut menceritakan pengalamannya ‘berhutang’ dengan kad kredit apabila kerapkali menggunakannya sehingga beliau tidak mampu membayar kadar ansuran untuk hutang-hutang barangan yang diambil.
Baginya, salah satu penarik dirinya terjebak dalam perangkap hutang kad kredit adalah pelan ansuran 0%.
Ada juga yang meluahkan, beliau juga pernah merasa terperangkap dengan pelbagai pinjaman dalam satu masa.
Pinjaman pendidikan, pinjaman peribadi, pinjaman motor, BNPL dan kad kredit. Semua ini akibat dari pembelian impulsif tidak terkawal dan sudahpun melebihi perbelanjaan yang ditetapkan.
Selain itu, ada juga yang timbulkan rasa menyesal kerana membeli gajet telefon baharu dan lunaskan hutang dengan ‘berhutang’ menggunakan kad kredit. Masa itu, pengguna ini tidak sedar bahawa ini akan memberi kesan kepada had kredit yang boleh digunakan.
3. Galak beli hartanah tanpa menilai kemampuan bayar bulanan, dinasihatkan jangan terburu-buru
Selalunya kita mendengar bahawa hartanah merupakan pelaburan yang berbaloi dan berpotensi menjana keuntungan tepi. Namun begitu, dalam beberapa kes sebagaimana yang diceritakan oleh seorang pengguna Reddit ini pula, beliau telah membeli sebuah aset hartanah bernilai RM400,000 sedangkan gaji beliau hanyalah RM4,000-5,000 sebulan.
Oleh kerana beliau perlu membayar pinjaman rumah, beliau tidak dapat menyimpan wang untuk masa hadapan kerana banyak dibelanjakan untuk membayar pinjaman rumahnya.
Lebih kurang sama cerita dengan seorang pengguna. Nasihat beliau, sila buat dahulu kajian dan beli ikut keperluan anda sendiri – adakah anda mahu tinggal sebagai rumah utama atau hanya sebagai pelaburan?
Kisah peribadi beliau pula, beliau telah membeli sebuah lot flat di Bukit Beruntung. Namun yang tidak beruntungnya pula, beliau terpaksa menjualnya dengan harga rendah setelah 20 tahun memegang hartanah tersebut.
4. Wang kripto dan NFT tinggal kenangan, lebur ribuan ringgit
Suatu masa dulu, wang kripto dan NFT dijangka meletus dengan jayanya sehingga pernah dibincangkan potensinya sebagai alternatif mata wang atau sekurangnya, tukaran dari kripto ke fiaf diterima lebih meluas ke negara-negara lain.
Walau bagaimanapun, ada juga yang menyesal melabur ke dalam wang kripto dan NFT. Ribuan ringgit dicurahkan ke dalam kripto dan NFT. Waktu zaman populariti NFT masih lagi mencanak, beliau mengakui telah menerima keuntungan yang besar.
Akan tetapi, wang tersebut dilaburkan pula semula ke dalam NFT lain. Sehingga kini, NFT dan kripto tidak lagi sepopular dahulu; maka kadar NFT tidak lagi setinggi dahulu dan ramai mencatat kerugian besar.
5. Tidak menyimpan lebih awal terutamanya waktu mula bekerja
Tidak mulakan simpanan lebih awal antara kesilapan kewangan yang kerap disebut dalam forum komuniti Reddit Malaysia. Kata seorang pengguna, banyak wang dibazirkan untuk membayar aset hartanah.
Lebih baik simpan wang yang ada ke dalam instrumen pelaburan berisiko rendah seperti ASB dan deposit tetap. Lebih penting, jangan terburu-buru melabur dan mesti pertimbangkan sewajarnya tentang bab pengurusan kewangan.
Simpanan sewajarnya harus dimulakan dalam gaji pertama anda dan pada kerja pertama anda. Dalam tahun-tahun mudanya, seorang pengguna lagi melontarkan, beliau telah membazirkan terlalu banyak wang semasa zaman pengajiannya demi hobinya memancing.
Beliau juga perlu bekerja semasa menuntut di universiti untuk membayar hutang keluarga dengan gaji sebagai seorang pekerja separuh masa.
Malangnya selepas hutang di kampung sudah lunas dan beliau juga sudah rasmi bergraduat serta mempunyai kerja – ini tetap dijadikan titik seterusnya untuk pembelian yang tidak diperlukan. Benar, ini menjadikan beliau gembira.
Tapi selepas zaman pandemik, ketiadaan simpanan beliau benar-benar menjadikan kehidupannya susah meniti hari-hari Covid-19.
Kelima-lima contoh kes dari perkongsian pengalaman dalam forum tersebut hanyalah kisah lima daripada ribuan orang yang turut mengalami masalah yang hampir sama.
Ini merupakan suatu seruan yang tegas mengingatkan bahawa kesilapan kewangan boleh terjadi kepada sesiapa sahaja, khususnya yang belum bersedia untuk membina kesihatan kewangan yang lebih baik dari hari ini.