Ilmu hartanah merupakan antara ilmu yang sangat bermanfaat dalam perancangan kewangan. Ia selalu jadi salah satu instrumen pelaburan yang akhirnya dapat menggandakan nilai pemilikan yang ada dalam sesebuah pegangan hartanah.
Bagaimanapun, ilmu hartanah boleh diperoleh dengan dua cara utama iaitu dengan melaburkan masa dan tenaga anda sendiri untuk memahami selok-belok hartanah, ataupun dengan mengambil khidmat nasihat wakil hartanah.
Wakil hartanah pula berbagai pula karenahnya; ada yang mudah didekati dan amat membantu klien-klien dalam soal rumah dan lain-lain. Ada juga yang menyalahgunakan peranan wakil hartanah itu sendiri untuk menipu dan memperdayakan mangsa lain.
Situasi ini pernah dibincangkan dalam kumpulan komuniti Reddit, r/MalaysianPF. Ini beberapa tanda yang mungkin anda boleh pertimbangkan sebelum memilih wakil hartanah yang dapat anda percayai…
Kena ada ‘booking fee’ siap masuk akaun peribadi, macam-macam caj tersembunyi sebelum jadi beli
Salah satu norma yang sangat lazim dalam urusan hartanah adalah sejumlah bayaran atau caj yang dikenakan, walaupun sebelum kita setuju membeli hartanah tersebut. Ada juga sesetengah wakil hartanah sanggup meletakkan caj bernilai sebulan kadar sewaan.
Misalnya, kadar sewaan sebuah rumah bernilai RM1,000. Jika seseorang wakil hartanah berunding dengan anda dan menyarankan agar anda membayar ‘agent fee’ kepada mereka – itu sebenarnya tidak dibolehkan di sisi LPPEH (Lembaga Penilai, Pentaksir dan Wakil Harta Tanah).
Selain itu, banyak lagi permintaan dari wakil-wakil hartanah yang sebenarnya agak ‘berbahaya’. Antara lain, caj-caj tersembunyi ini melibatkan caj-caj seperti perlu bayar sejumlah wang untuk tengok unit lot yang kita mahukan. Lebih mencurigakan pula sekiranya bayaran itu perlu dijelaskan ke dalam akaun bank peribadi wakil hartanah itu pula.
Anda tersekat dalam situasi ini? Jangan risau… anda boleh semak dulu nombor telefon atau nombor akaun bank di laman sesawang SEMAKMULE. Untuk pengetahuan anda, laman ini boleh dijadikan sebagai rujukan khususnya apabila berhadapan dengan nombor-nombor mencurigakan atau dihubungi orang yang tidak dikenali.
Nombor REN adalah nombor wajib ada bagi setiap wakil hartanah, pastikan mereka berdaftar terlebih dahulu
Setiap wakil hartanah sebenarnya perlu berdaftar terlebih dulu dalam pangkalan data LPPEH. Sesiapa yang sudah berdaftar di bawah LPPEH bererti mereka sememangnya diberikan kuasa dan akreditasi untuk bekerja dalam bidang hartanah.
Syarat utamanya adalah seseorang wakil hartanah mestilah berumur lebih dari 18 tahun dan bekerja dalam sesebuah syarikat secara sepenuh masa. Hanya satu nombor REN akan diberikan kepada sebuah syarikat dalam satu masa.
Sebelum itu, apa benda REN ini? Secara asasnya, REN atau ‘real estate negotiator’ merupakan istilah rasmi untuk para wakil hartanah yang telah ditauliahkan oleh LPPEH. REA pula satu lagi istilah rasmi iaitu ‘real estate agent’.
Perbezaan besarnya adalah REN ini istilah bagi perunding hartanah, manakala REA pula barulah betul-betul wakil hartanah. Nampaknya bukan mudah ya untuk bergelar wakil hartanah di Malaysia!
https://www.facebook.com/watch/?v=1870146309847348
Sekiranya anda perlu berjumpa sama ada REN atau REA, mereka sebenarnya perlu membawa tag nama dengan dua warna yang berbeza iaitu merah untuk REN dan biru untuk REA. Tag nama itu haruslah mempunyai butiran-butiran yang relevan termasuklah nombor pendaftaran mereka.
Jika seseorang yang mengaku wakil hartanah, anda boleh minta nombor pendaftarannya terlebih dahulu. Dalam laman sesawang LPPEH, anda boleh memasukkan butiran-butiran tertentu seperti nama syarikat hartanah, nama ahli LPPEH dan nama perunding hartanah.
Andainya tiada dalam carian sesawang ini, jalan terbaik adalah dengan menamatkan sebarang urusan dengan wakil hartanah tersebut kerana tanpa pentauliahan ini, anda kehilangan jaminan dan mekanisme perlindungan dalam urusan hartanah.
Jauhi wakil hartanah yang tidak jujur, elak menyesal di masa depan
Wakil hartanah seharusnya menjadi orang yang dapat memudahkan urusan hartanah kita dari awal hinggalah berakhirnya urusan jual beli hartanah anda. Perkongsian kami kali ini diharap dalam memudahkan anda mencari seseorang wakil hartanah yang dapat membantu anda dalam apa-apa matlamat hartanah anda.
Ternyatalah, dua tanda paling penting adalah kadar bayaran tambahan yang diminta dan nombor REN setiap wakil hartanah.