Bila masa terbaik untuk buat pinjaman peribadi?

Pinjaman peribadi merupakan salah satu inisiatif bagi seseorang untuk mendapatkan wang tambahan dalam satu tempoh masa tertentu. Ia juga boleh digunakan untuk apa sahaja agar dapat memenuhi kepentingan atau keperluan seseorang.

Walau bagaimanapun, banyak nasihat di luar sana mengatakan bahawa mengambil pinjaman peribadi ini suatu langkah yang buruk. Lebih menggusarkan, statistik menunjukkan bahawa faktor utama ramai jatuh bankrap.

Via SME Loan Malaysia

Bayangkan, sebanyak 42.24% kes kebankrapan disumbangkan dari kes hutang pinjaman peribadi, diikuti sewa beli kenderaan 4.39% dan pinjaman perniagaan (14.12 %). Peratusan bankrap dari hutang pinjaman peribadi lebih tinggi berbanding peratusan hutang lain.

Melihat fakta ini, ramai pasti tertanya-tanya sejauh mana buruknya pilihan pinjaman peribadi dan bila waktu terbaik untuk mengambil pinjaman peribadi. Jika anda berada dalam situasi kewangan ini, mungkin pinjaman peribadi boleh jadi salah satu penyelesaian.

1.Mahu tutup kad kredit, kena bayar hutang dulu

Bagi sesetengah orang, kad kredit adalah satu kemudahan yang perlu ada dalam kehidupan mereka. Dengan sekali leret, sebarang urusan pembelian atau urusan pemilikan kini berada dalam genggaman anda. Transaksi juga lebih mudah dan cepat. Ditambah lagi dengan pelbagai ganjaran yang ditawarkan oleh syarikat kad kredit, lebih ramai tertarik untuk menggunakan kad kredit.

Via Sinar Plus

Namun begitu, kemudahan ini boleh menjerat sesiapa sahaja dalam kancah hutang. Lagi-lagi apabila penggunaan kad kredit menjadi tidak terkawal, atau pergantungan yang tinggi dengan kad kredit. Apabila hutang semakin tinggi dan anda memikirkan untuk tutup kad kredit anda; pinjaman peribadi boleh selesaikan hal ini.

Setiap kad kredit ada kadar faedah tersendiri. Oleh demikian, sekiranya anda mahu tutup hutang kad kredit, anda boleh memilih untuk ambil pinjaman peribadi agar dapat membayar keseluruhan hutang kad kredit yang tertunggak. Situasi ini lebih sesuai sekiranya anda mempunyai lebih dari satu hutang kad kredit dan perlu menutup semua hutang kad kredit pada satu masa.

BACA  Bayar Booking Fee sebelum beli atau sewa rumah: Sah atau tidak dari segi undang-undang?
Via Urus Insan

Kaedah ini sesuai sekiranya kadar faedah hutang pinjaman peribadi lebih rendah berbanding kadar faedah hutang kad kredit anda. Dengan cara ini, anda hanya perlu membayar satu hutang saja iaitu hutang pinjaman peribadi dengan kadar yang lebih rendah berbanding dua atau tiga hutang kad kredit dalam satu masa.

2. Baru pindah ke rumah baharu? Lengkapkan barangan di rumah tanpa berhutang dengan kedai

Sama ada mahu membeli perabot baharu, pasang kelengkapan rumah atau mahu membeli lebih banyak perhiasan rumah; pinjaman peribadi mungkin pilihan terbaik untuk menyelesaikan bermacam kos yang diperlukan.

Ia juga mengelakkan anda daripada berhutang di kedai perabot ataupun berhutang dengan syarikat kredit yang mempunyai kadar faedah yang tinggi. Situasi ini juga terpakai sekiranya kadar faedah untuk pinjaman peribadi anda lebih rendah daripada kadar faedah yang ditawarkan oleh kedai perabot dan syarikat pinjaman kredit.

Contoh pakej perabot yang ditawarkan secara ansuran..- Via Ideal Home Furniture

Jika ada lebihan selepas membayar kos keseluruhan ini, ia tentulah boleh dilaburkan semula ke instrumen pelaburan lain ataupun disimpan untuk kegunaan masa depan. Tentu ‘ringan kepala’ apabila anda cuma perlu bayar satu hutang sahaja berbanding membayar lebih banyak jenis hutang, di samping masih mempunyai lebihan wang untuk disimpan.

3. Skor kredit anda kurang baik? Pinjaman peribadi boleh bantu naikkan semula

Hidup ini penuh dengan pancaroba. Terutamanya apabila ia melibatkan kewangan dan mungkin ada beberapa kali, tiba situasi yang membuatkan anda terlepas membayar semula pinjaman beberapa kali sehingga wujudnya tunggakan.

Rekod-rekod tunggakan ini mungkin boleh mencalarkan rekod skor kredit anda, dan menyukarkan anda membuat pinjaman lain seperti pinjaman rumah dan kereta.

Via Qaola Malaysia

Di Malaysia, terdapat dua laporan kredit yang akan dirujuk oleh pihak bank bagi menentukan kelulusan sesebuah permohonan pinjaman.

  • Laporan kredit CCRIS (Central Credit Reference Information System)  yang diuruskan oleh Biro Kredit BNM. Antara info yang tersedia dalam laporan CCRIS adalah semua pinjaman/kredit tertunggak, akaun khusus yang perlu dipantau dan permohonan pinjaman kredit yang lulus atau sedang diproses dalam tempoh 12 bulan.
  • Laporan CCTOS (CTOS Data Systems Sdn Bhd) pula adalah organisasi swasta yang turut menyediakan laporan kredit dan meliputi sumber awam rentas jabatan. Antara info yang boleh disemak seperti status muflis, tindakan undang-undang, status kes dan pemilikan serta informasi perniagaan.
BACA  Wanita tolong 'alert' 5 kesilapan kewangan ini

Perbezaan besar antara kedua-dua laporan ini adalah dari segi cara info dikumpulkan dan siapa yang menyediakan laporan kredit ini. CCRIS dari Bank Negara, manakala CTOS pula dari syarikat swasta yang mahir kumpul info tentang si peminjam.

Oleh itu, pinjaman peribadi boleh digunakan untuk melangsaikan terus hutang tertunggak. Penyatuan hutang (debt consodilation) juga boleh digunakan agar kesemua hutang sedia ada dapat digabungkan dan seterusnya mengurangkan kerumitan membayar pelbagai komitmen ansuran bulanan.

Pinjaman peribadi cuma salah satu pilihan yang ada, elakkan tambah hutang yang tidak perlu

Dari sudut perancangan kewangan, hutang-piutang yang ada merupakan suatu liabiliti dan akan memerangkap anda sekiranya tidak berhati-hati. Walaupun pinjaman peribadi adalah salah satu pilihan popular khususnya ketika waktu mereka sedang memerlukan sejumlah wang yang besar nilainya, ia perlu dilakukan dengan pertimbangan-pertimbangan rapi tentang kadar faedah, kemampuan dan disiplin anda membayar semula pinjaman tersebut dan cita-cita kewangan anda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *