BRICS: Apa kesan kemasukan Malaysia ke dalam gabungan ini?

BRICS

BRICS merupakan singkatan atau akronim daripada gabungan lima buah negara dengan ekonomi yang berkembang pesat, iaitu Brazil, Rusia, India, China, dan Afrika Selatan.  

Pada awal penubuhannya tahun 2006, gabungan ini hanya terdiri daripada BRIC sahaja (Brazil, Rusia, India, China).  Namun, kemasukan Afrika Selatan telah disahkan secara rasmi pada 2010 yang kemudiannya membentuk BRICS yang kita ketahui pada hari ini.

BRICS
Sumber: Pinterest

Matlamat utama penubuhan BRICS ialah menyatukan negara-negara membangun dan mengurangkan dominasi Amerika Syarikat serta negara-negara Barat (G7), sekali gus memberi saingan kepada kuasa politik dan ekonomi Barat.

Penubuhannya juga bertujuan mempromosikan kerjasama ekonomi, politik, dan keamanan antara negara anggota, serta meningkatkan pengaruh mereka pada peringkat global.  

BRICS
Sumber: Pinterest

Kewujudan BRICS sudah mulai mendapat perhatian dan minat daripada negara-negara pesat membangun yang lain.  Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya keahlian negara anggota BRICS ini terus bertambah dari masa ke masa mengikut syarat-syarat yang dipersetujui oleh negara-negara yang mempelopori gabungan ini.  

Penyertaan Malaysia

Dengan mengikuti jejak negara Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu yang telah terlebih dahulu menyertainya pada Januari 2024, Malaysia telah sah menjadi salah satu negara anggota pada 24 Oktober yang lalu.

BRICS
Sumber: Pinterest

Setelah menyatakan hasrat untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan melalui perbincangan, Malaysia akhirnya sah menjadi antara 13 anggota baharu dalam BRICS bersama 3 negara ASEAN lainnya iaitu, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Ketertarikan dan Kesan Malaysia sertai BRICS

Melalui beberapa fokus yang diberikan BRICS, jelas bahawa ia akan sangat membantu Malaysia dalam beberapa aspek terutamanya ekonomi.  

Berdasarkan laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara, BRICS juga berperanan meningkatkan kerjasama politik dan sosial di antara negara anggota selain daripada kerjasama dalam bidang ekonomi.  

BACA  Kalau bank pula yang bankrap, apa akan jadi pada duit kita?

Secara tidak langsung, ia juga akan memberikan impak suara yang lebih berkesan di peringkat antarabangsa.  Berikut merupakan antara aspek yang diberikan tumpuan dalam kerjasama BRICS:

Ekonomi

Merujuk laporan berita CNA, ekonomi negara-negara anggota BRICS mewakili lebih daripada AS$28.5 trilion atau kira-kira 28 peratus daripada ekonomi global.  Menteri Luar Malaysia, Mohamad Hasan, juga berkata bahawa Malaysia kini dapat menikmati peluang perdagangan yang lebih baik kerana blok ini mempunyai populasi gabungan sebanyak 3.2 bilion.

BRICS
Sumber: Pinterest

Oleh itu, ia mempunyai pengaruh yang agak besar di peringkat global.  Hal ini akan mendorong perdagangan, pelaburan dan kerjasama antara negara-negara anggota, termasuk pengurangan hambatan perdagangan dan peningkatan kerjasama industri.

Pembangunan Infrastruktur

BRICS telah mewujudkan institusi kewangan mereka sendiri seperti New Development Bank (NDB) dan Contingent Reserve Arrangement (CRA) sebagai pemangkin projek-projek infrastruktur, pembangunan tenaga hijau, pengangkutan, perumahan dan pembangunan.  

BRICS
Sumber: Pinterest

Kewujudan inisiatif sebegini disebabkan BRICS berpendapat bahawa, negara-negara barat jelas sedang menguasai badan-badan global yang penting seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang meminjamkan wang kepada kerajaan di serata dunia.  

Dengan adanya NDB dan CRA ini, BRICS dijangka mampu mendanai projek-projek infrastruktur dan pembangunan yang mendukung pertumbuhan di negara anggota.  Secara tidak langsung, Malaysia juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada negara barat.

Pemindahan Teknologi dan Inovasi

BRICS
Sumber: Pinterest

Malaysia juga akan memiliki peluang untuk bekerjasama lebih erat dalam inovasi teknologi, kajian, dan pendidikan dengan negara-negara BRICS yang sudah maju dalam bidang ini, terutamanya China dan India.  

Seperti yang kita sedia maklum, China memegang kuasa besar dalam penciptaan barangan peranti elektronik dan teknologi automotif yang mampu menyaingi negara-negara barat.

Hal ini jelas akan sangat menguntungkan Malaysia memandangkan negara ini juga sedang mengukuhkan kedudukannya sebagai hub semikonduktor di ASEAN.  Sudah pasti banyak pemindahan teknologi, tenaga pakar dan idea daripada China, India dan negara-negara anggota BRICS yang lain.  

BACA  Animasi sebagai Pelaburan Masa Depan: Peluang Ekonomi dalam Sektor Kreatif Malaysia

Politik

BRICS juga mempunyai keupayaan untuk mempromosikan sistem politik yang lebih adil dan inklusif.  Hal ini demikian kerana ia mencerminkan kepentingan negara-negara yang menganggotainya.  

Buktinya, negara-negara BRICS juga seringkali menyatakan pendirian dan pendapat dalam pelbagai platform peringkat antarabangsa seperti di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

BRICS
Sumber: Pinterest

Menjadi anggota BRICS akan meningkatkan posisi geopolitik Malaysia dan memberikan suara yang lebih besar dalam pengambilan keputusan global.  Malaysia dapat menyertai forum multilateral bagi memajukan kepentingannya, seperti isu lingkungan, kelestarian tenaga, dan hak-hak perdagangan antarabangsa.  

Seperti sedia maklum juga, buat masa ini, ekonomi Malaysia banyak bergantung kepada kerjasama dengan negara-negara Barat dan negara Asia lainnya. 

Berikutan konflik berterusan di timur tengah, bergabung dengan BRICS akan sangat membantu Malaysia meluaskan hubungan antarabangsa dan mengurangi kebergantungan ekonomi terhadap blok-blok tertentu.

Pembangunan Sosial

Sumber: Pinterest

BRICS juga memberikan fokus kepada isu-isu sosial seperti kesihatan, pendidikan dan pembasmian kemiskinan.  Sebagai contoh, negara-negara anggota dapat dilihat sering bertukar pengalaman dan kebijaksanaan mengendalikan cabaran pembangunan di negara masing-masing.  

Malaysia boleh mengambil pengalaman daripada negara-negara anggota yang lain dalam mengatasi masalah-masalah yang berkaitan dan mengurangkan risiko berlakunya kesilapan yang sama kerana bakal mengundang kerugian kepada negara.

Melalui BRICS juga, Malaysia dapat memperkuat posisinya dalam isu-isu keamanan dan kestabilan yang penting di peringkat global. Sebagai contoh, dalam mengatasi ancaman terorisme, keamanan siber, serta kestabilan tenaga dan sosial.

Selain daripada manfaat yang boleh didapatkan daripada pembangunan sosial dalam keanggotaan BRICS, promosi dan pertukaran budaya juga akan membantu memperkenalkan budaya masyarakat tempatan kepada negara luar dengan efektif.

Strategi promosi budaya yang berkesan sudah pasti akan meningkatkan ekopelancongan negara pada masa hadapan.

BACA  Masa depan Grab & Foodpanda selepas siri pemberhentian pekerja

Cabaran dan risiko

Berdasarkan ulasan Wong Chun Wai, selaku Pengerusi Bernama pada Jun lalu, Malaysia telah berulang kali menyatakan pendirian tidak akan mengambil sikap berpihak dalam perbalahan di antara Amerika Syarikat dan China, bahkan cukup berhati-hati mengendalikan situasi yang sukar itu.

Sumber: Pinterest

Tambahan pula, Malaysia juga mendapat banyak manfaat daripada perang cip AS-China. Sebagai contoh, Pulau Pinang menjadi penerima faedah paling besar sehingga RM60.1 bilion pada 2023.

Oleh itu, sudah tentu Malaysia akan terus mengalu-alukan pelaburan Amerika Syarikat dan tidak akan melakukan sesuatu yang menjejaskan kerjasama berkenaan.

Namun begitu, berdasarkan keputusan sertai BRICS, sudah pasti tindakan Malaysia seolah-olah mengundang sokongan kepada kuasa dunia multipolar yang tidak hanya berpusatkan kepada Amerika Syarikat sahaja.  

Walaupun Malaysia banyak menerima pelaburan daripada negara tersebut, namun penyertaan sebagai anggota BRICS yang dipelopori Rusia dan China, sudah pasti akan meninggalkan kesan.

Tambahan pula, persepsi negara-negara barat umumnya memandang rendah BRICS.  Menurut artikel keluaran Council Foreign Relations, Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan, mengatakan bahawa Washington tidak melihat BRICS sebagai saingan geopolitik. 

Begitu juga, Menteri Luar Jerman Annalena Baerbock memandang rendah hubungan erat negara anggota BRICS.  Analisis politik lain mendakwa bahawa BRICS ini dilebih-lebihkan, dan cabaran dalaman di negara anggota cukup besar untuk menghalang ancaman sebenar kepada kesihatan ekonomi Barat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *