Apa yang Perlu Anda Tahu Tentang Cukai dan Pelepasan Pada Tahun Depan (2025)?

Cukai

Belanjawan MADANI 2025 baru sahaja dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia Kesepuluh, merangkap Menteri Kewangan Malaysia di Dewan Rakyat pada Jumaat, 18 Oktober yang lalu.  

Cukai
Sumber: IG Anwar Ibrahim

Melalui pembentangan tersebut, PMX telah merangkumkan pelbagai pencapaian dan inisiatif dengan mengangkat tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan dan Mensejahterakan Rakyat.”

Melalui pembentangan ini, ia dapat memberikan gambaran kepada masyarakat umum khususnya di Malaysia terhadap kesediaan dan kepakaran kerajaan dalam menguruskan ekonomi.  Pada masa yang sama, ia mencerminkan keadaan dan kestabilan ekonomi di Malaysia.

Berdasarkan pembentangan panjang tersebut juga, Belanjawan MADANI 2025 membawa beberapa perubahan menarik dalam cukai dan pelepasannya yang bertujuan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi serta kebajikan rakyat.  

Berikut merupakan antara isi penting yang perlu anda ketahui agar dapat memanfaatkan inisiatif kerajaan sepenuhnya pada masa akan datang.

Perluasan Cukai dan Cukai Baharu Diperkenalkan

Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST)

Berdasarkan pembentangan, cukai jualan akan dikenakan kepada barangan mewah seperti ikan salmon, avokado, dan produk import premium, manakala barangan keperluan asas seperti beras dan minyak masak masih kekal bebas cukai.  Hal ini bertujuan untuk mengimbangi kutipan hasil tanpa membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.  

cukai
Sumber: Pinterest

Dalam Belanjawan 2025 juga, cukai perkhidmatan terhadap perkhidmatan komersial juga akan diperluaskan mulai 1 Mei 2025.  Ini termasuk transaksi antara perniagaan Business-to-Business (B2B) dan sektor-sektor seperti perkhidmatan kewangan yang berasaskan yuran mungkin terlibat.  

Peluasan ini bertujuan bagi mengukuhkan kedudukan fizikal negara dan tidak hanya bergantung kepada cukai daripada pendapatan pekerja, tetapi juga melibatkan sumbangan syarikat serta individu kaya.  Namun begitu, kerajaan tetap akan mengadakan sesi libat urus dengan industri yang terlibat bagi memastikan kelangsungan perniagaan tidak terjejas

BACA  BRICS: Apa kesan kemasukan Malaysia ke dalam gabungan ini?

Cukai Dividen  

Kerajaan bercadang meluaskan asas cukai secara progresif dengan memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2 peratus ke atas pendapatan dividen melebihi RM100,000 yang diterima oleh pemegang saham individu bermula tahun 2025.  

Langkah ini bertujuan bagi memastikan cukai lebih progresif dengan menyasarkan golongan berpendapatan pasif tinggi.  Namun, pendapatan dividen dari simpanan seperti KWSP, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di bawah Pelaburan Nasional Berhad (PNB), dan dividen luar negara akan dikecualikan. 

cukai
Sumber: YouTube Sembang Finance

Inisiatif ini dijangka dapat membantu menaikkan pendapatan negara tanpa menambah beban kepada pekerja berpendapatan tetap atau mereka yang bergantung kepada simpanan persaraan.

Pelepasan Cukai Bermula pada Tahun Hadapan

Pemilikan Rumah Pertama

cukai
Sumber: Pinterest

Bagi menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat, kerajaan menawarkan pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk rumah pertama bernilai hingga RM500,000.  Pelepasan ini ditawarkan selama tiga tahun berturut-turut untuk pembelian rumah antara 2025 hingga 2027.  

Langkah ini diperkenalkan bertujuan bagi meringankan beban kos pemilikan rumah, terutama bagi golongan muda, fresh grad dan pasangan baru berkahwin yang ingin memiliki hartanah sendiri.  

Namun begitu, pembelian rumah tersebut tidak boleh digunakan untuk menjana pendapatan pasif seperti menyewakannya kepada orang lain.

Pendidikan Anak-anak

Kerajaan melanjutkan pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) selama tiga tahun lagi.  Pelepasan cukai ini membantu ibu bapa menyimpan dana untuk pendidikan anak-anak pada masa hadapan. 

cukai
Sumber: Pinterest

Selain itu, pelepasan cukai sehingga RM3,000 ke atas bayaran yuran taska dan tadika juga dilanjutkan sehingga tahun 2027. Inisiatif ini jelas akan memberikan manfaat kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Kesihatan dan Perubatan

Sumber: Pinterest

Pelepasan cukai yang berkaitan dengan perubatan telah dinaikkan kepada RM10,000, merangkumi perbelanjaan premium insurans pendidikan dan perubatan.  Inisiatif ini termasuk kos rawatan perubatan, pembelian peralatan perubatan, dan kit ujian untuk mengesan penyakit.

BACA  Wang Tidak Dituntut : Semakan & Tuntutan Secara Online 2024

Langkah ini bertujuan mendorong rakyat mengamalkan penjagaan kesihatan yang lebih baik, terutama dalam konteks pasca-pandemik.

Orang Kurang Upaya (OKU)

Sumber: Pinterest

Tidak dilupakan juga golongan kurang upaya (OKU), yang juga tidak terlepas daripada menjadi golongan sasaran penerima bantuan pelepasan cukai daripada pihak kerajaan.

Melalui pembentangan belanjawan, had pelepasan cukai bagi golongan OKU telah dinaikkan kepada RM7,000, manakala pelepasan cukai untuk pasangan OKU dinaikkan kepada RM6,000. 

Bagi anak-anak OKU yang belum berkahwin pula, pelepasan cukai juga dinaikkan kepada RM8,000. Langkah sebegini diambil bertujuan menyalurkan bantuan kepada golongan OKU dan keluarga mereka untuk mengurangkan beban kewangan.

Ke Arah Mensejahterakan Rakyat dan Membugar Ekonomi

Keseluruhan langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat dari pelbagai latar belakang, sama ada mereka ingin memiliki rumah, membiayai pendidikan anak-anak, menjaga kesihatan keluarga, atau memberikan sokongan kepada golongan OKU.

Jelas bahawa perancangan kerajaan melalui belanjawan 2025 ini, menyasarkan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan pembangunan sosioekonomi.  Pada masa yang sama, kerajaan sedang berusaha memastikan kebajikan rakyat terpelihara melalui pelbagai insentif dan bantuan yang disasarkan kepada golongan rentan.

Melalui inisiatif yang dirangka ini, jurang kesenggangan ekonomi yang ketara selama ini akan mulai diperbaiki dari masa ke masa dan mewujudkan ekonomi yang seimbang pada masa hadapan.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *