Dari Skrin ke Ringgit: Bagaimanakah E-sukan Meningkatkan Ekonomi Malaysia?

E-sukan

E-sukan atau sukan elektronik (e-sport) di Malaysia bermula sebagai aktiviti rekreasi secara santai yang popular dalam kalangan remaja dan peminat permainan video.  Anak muda kini gemar meluangkan masa bersama rakan dan keluarga terdekat dengan memainkan permainan video untuk mewujudkan keakraban sesama mereka. 

Namun, peranan e-sukan kini telah berkembang menjadi sebuah industri yang mampu menjana pendapatan berjuta bahkan berbilion ringgit.  Dengan adanya minat terhadap permainan kompetitif tersebut dan sokongan daripada pihak kerajaan, e-sukan semakin berpotensi menjadi industri formal yang bakal memacu pertumbuhan ekonomi negara.

e-sukan
Sumber: Pinterest

Malaysia merupakan salah satu negara di Asia Tenggara yang secara aktif mulai membangunkan industri e-sukan.  Beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah menganjurkan pelbagai acara e-sukan bertaraf antarabangsa yang menarik peserta dan peminat dari seluruh dunia. 

Acara seperti Malaysia Cyber Games, Dota 2 ESL One Malaysia, SPS Mobile Legends dan PUBG Mobile World League tidak hanya memberikan platform kepada bakat tempatan untuk bersaing,  tetapi juga menyumbang kepada sektor pelancongan, perhotelan, perkhidmatan dan sebagainya.

E-Sukan Menjana Sumber Pendapatan yang Pelbagai

Industri e-sukan di Malaysia telah mencipta pelbagai sumber pendapatan yang baru seperti melalui penajaan, hak penyiaran dan media, penjualan barangan eksklusif dan tiket acara.

Penajaan

Syarikat-syarikat besar seperti Telekom Malaysia, Yoodo, Maxis dan Infinix telah terlibat secara aktif dalam menaja acara e-sukan tempatan.  Penajaan ini sangat penting bagi menjana sumber pendapatan untuk pasukan e-sukan serta meningkatkan penganjuran kejohanan di seluruh negara. 

Jenama-jenama antarabangsa seperti Intel, Republic of Gaming (ROG), Snapdragon dan Logitech turut menyumbang kepada ekosistem e-sukan Malaysia melalui penajaan peralatan, peranti elektronik dan teknologi permainan.

Hak Penyiaran dan Media

E-sukan kini telah menjadi antara tarikan utama bagi penyiaran dalam talian.  Platform seperti Twitch, TikTok, Facebook dan YouTube Gaming mendapat ribuan bahkan jutaan tontonan setiap kali kejohanan besar diadakan.  Peningkatan drastik tontonan sebegini telah memberi ruang kepada pengiklan untuk menempatkan iklan mereka bagi menghasilkan aliran pendapatan yang lebih lumayan.

BACA  Ekonomi hijau : Kenali lebih dan cara untuk turut serta membantu

Penyiaran acara e-sukan juga disokong oleh hak cipta media yang dibeli oleh syarikat seperti Entertainment and Sports Programming Network (ESPN) dan hal ini jelas membantu meningkatkan lagi nilai komersial industri ini.

Penjualan Barangan Eksklusif dan Tiket Acara

Sumber: TikTok SRG Esport

Seperti sukan tradisional atau sukan fizikal yang lain, e-sukan kini menawarkan penjualan barangan eksklusif seperti pakaian pasukan, alat permainan, dan perisian digital permainan tersebut.  Contoh perisian permainan yang boleh dibeli termasuk skin, karakter dan perhiasan sampingan seperti muzik tambahan serta pelbagai lagi perisian lain yang boleh dibeli secara dalam talian untuk membantu meningkatkan lagi kualiti permainan seseorang. 

Selain itu, tiket acara langsung dapat menarik ribuan peminat untuk hadir ke arena bagi menyaksikan pertandingan secara langsung.  Kesannya, hasil jualan tersebut akan menyumbang kepada pendapatan industri e-sukan.

Sumbangan kepada Ekonomi Tempatan

Penganjuran acara e-sukan bertaraf antarabangsa di Malaysia bukan sahaja memberi kesan positif kepada industri e-sukan, malah kepada ekonomi tempatan secara keseluruhan. Bandar-bandar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru sering dipilih sebagai lokasi utama untuk kejohanan ini. 

Acara sebegini akan membawa masuk pelancong, pemain, dan penganjur dari seluruh dunia. Hal Ini jelas bahawa e-sukan akan memberi manfaat kepada sektor pelancongan, perhotelan, dan perkhidmatan seperti pengangkutan awam, makanan dan minuman, serta pusat-pusat membeli-belah.

Oleh itu, tidak hairan sekiranya kerajaan Malaysia telah melihat potensi ini sebagai cara untuk mempromosikan negara sebagai hab e-sukan Asia Tenggara.  Buktinya, pada 2020 yang lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta dalam Belanjawan Negara khusus untuk membangunkan industri e-sukan

Ini termasuk peningkatan infrastruktur digital, pelaburan dalam pembangunan bakat anak muda tempatan, dan mempromosikan acara ini ke peringkat antarabangsa agar dapat menarik lebih ramai pelancong dan pelabur luar.

Sumber: Instagram SRG Esport

E-Sukan Penciptaan Peluang Kerjaya Baharu

Selain daripada melahirkan pemain profesional dalam bidang ini, e-sukan turut mencipta peluang kerjaya dalam pelbagai sektor sokongan yang lain seperti pengurusan pasukan dan liga, pengeluaran kandungan (content creator) dan sebagainya.

BACA  Berdepan masalah kewangan: Ini 5 syarikat popular yang sekarang disenaraikan dalam PN17

Pengurusan Pasukan dan Liga

Sumber: Pinterest

Semakin banyak pasukan e-sukan yang ditubuhkan, jelas bahawa peningkatan terhadap permintaan untuk menguruskan pasukan, pencarian ejen pemain, dan penasihat liga akan turut meningkat.  Hal sebegini tidak boleh dilakukan secara sembarangan atau cacamerba kerana ia melibatkan pengurusan manusia dan memerlukan pengalaman. 

Tanpa pengurusan yang berkualiti, hasil permainan yang dipertandingkan juga akan terkesan.  Sebaliknya, pengurusan yang dilakukan secara teliti dan bersungguh-sungguh akan mampu mendatangkan keuntungan dan mengurangkan risiko kegagalan sesebuah pasukan dalam e-sukan tersebut.  Dengan adanya ekosistem e-sukan ini, kelahiran bakat mengurus dalam anak muda akan semakin meningkat dari masa ke masa.

Pengurusan Acara

Setiap kejohanan e-sukan memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang rapi bagi memberikan peluang kepada individu untuk terlibat dalam pengurusan acara, pemasaran, dan pengiklanan.  Sebagaimana acara-acara sukan lain yang diadakan sudah tentu ia akan memakan proses yang panjang dan saling bersangkut paut sama ada ketika sebelum, semasa mahupun selepas acara tersebut berlangsung. 

Mutu sesuatu acara yang baik sudah tentu akan memberikan kesan yang berkualiti kepada penonton dan peminat e-sukan.  Tidak kira sama ada daripada segi penyusunan acara, pengulas, penganalisis permainan, pengawal kamera, hebahan poster, pemilihan muzik dan kemahiran mengawal manusia, kesemua tugas tersebut perlu dikawal selia dengan baik.

Pengeluaran Kandungan (content creator)

e-sukan
Sumber: Pinterest

Permintaan untuk penstriman secara langsung dan kandungan permainan video kian meningkat akhir-akhir ini. Ini jelas akan membuka peluang kepada penulis kandungan, juruteknik, dan pengarah kreatif untuk menyumbang kepada penyiaran dan produksi kandungan digital. 

Tidak dilupakan juga langkah yang diambil daripada sektor pendidikan, apabila universiti di Malaysia juga telah mula mengintegrasikan e-sukan dalam program pendidikan mereka.  Sebagai contoh, Universiti Malaya dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menawarkan kursus berkaitan pemasaran digital, pengurusan acara, dan analisis data yang bertumpu kepada e-sukan.

BACA  Habuk pun tak mudah melekat, ini tips bersihkan rumah sempena Raya

Hal ini jelas sangat membantu dalam memberikan laluan kepada pelajar untuk menceburi bidang e-sukan yang semakin berkembang.

Impak Teknologi dan Inovasi Digital

Industri e-sukan secara langsung mendorong perkembangan teknologi digital dan infrastruktur. Pembangunan rangkaian internet berkelajuan tinggi seperti 5G adalah kritikal untuk memastikan kelancaran permainan dalam talian. 

Oleh itu, Malaysia telah mula menerapkan teknologi ini bagi menyokong pertumbuhan e-sukan di negara ini.  Pengenalan teknologi seperti Virtual reality (VR) dan Augmented Reality (AR) juga dijangka memberi kesan positif kepada cara permainan video dan e-sukan dimainkan pada masa hadapan.

Sumber: Pinterest

Syarikat-syarikat teknologi seperti Maxis dan Telekom Malaysia juga sedang melabur dalam meningkatkan liputan internet dan infrastruktur rangkaian bagi menyokong komuniti permainan yang sedang berkembang pesat ini.  Secara tidak langsung, teknologi ini bukan sahaja memberi manfaat kepada industri e-sukan tetapi juga sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lebih luas, memberi kesan positif kepada ekonomi digital negara.

Potensi Ekonomi Mendatang

Kesimpulannya, transformasi besar yang telah berlaku dalam industri e-sukan yang hanya bermula daripada sekadar permainan video berubah kepada pemangkin ekonomi telah memainkan peranan yang sangat penting.  E-sukan tidak hanya menyumbang kepada pembangunan ekonomi digital negara tetapi juga mencipta peluang pekerjaan, memajukan infrastruktur teknologi, dan menarik pelaburan serta pelancongan antarabangsa. 

Dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya kerajaan dan peningkatan minat global terhadap e-sukan, Malaysia sudah tentu mampu berada dalam posisi untuk menjadi hab utama dalam ekosistem e-sukan di Asia Tenggara bahkan di peringkat dunia.

Jelas bahawa industri ini mempunyai potensi untuk terus berkembang dan masa depan e-sukan di Malaysia kelihatan cerah jika pembangunan berterusan dapat dipacu melalui inovasi teknologi, pelaburan swasta, dan penyertaan aktif generasi muda secara positif dalam industri ini.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *