Ibadah Haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan bagi setiap muslim jika berkemampuan. Begitulah apa yang difirmankan Allah SWT dalam Surah Ali Imran pada ayat ke-97.
Setiap muslim pasti ada keazaman untuk tunaikan haji sekali seumur hidup. Namun, proses untuk mendapatkan giliran boleh mengambil masa bertahun-tahun disebabkan pendaftaran yang ramai dan kuota tahunan yang terhad.
Oleh itu, tidak hairan jika ramai jemaah Malaysia terdiri daripada golongan berumur lingkungan 50-an dan ke atas. Bahkan jika ada golongan muda, mungkin hanya terdiri daripada kakitangan Tabung Haji yang bertugas.
Namun begitu, tanpa kita sedari, sebenarnya ada sahaja golongan yang pergi menunaikan ibadah ini dalam usia muda tanpa menelan belanja yang besar, menyandang nama, gelaran atau jawatan khas tertentu.
Jika anda ingin tahu bagaimana mereka mempercepatkan proses giliran haji mereka, fahami dan ikuti panduan berikut:
Daftar Seawal Mungkin
Salah satu faktor utama dalam sistem giliran Tabung Haji (TH) ialah tarikh pendaftaran. Lebih awal anda mendaftar, maka lebih cepat giliran anda akan tiba. Jika tidak mendaftar, bagaimana TH hendak menguruskan data dan giliran anda?
Walaupun akaun TH boleh dibuka secara atas talian melalui THiJARI serendah RM2 sahaja, namun anda tidak akan mendapatkan sebarang giliran tahun haji selagi tiada simpanan sebanyak RM1300 di akaun anda.
Jika anda merancang untuk mendaftarkan anak-anak, lakukan perkara tersebut sebaik sahaja mereka lahir. Ini akan memastikan mereka mempunyai giliran lebih awal.
Jika anda tiada kemampuan untuk mendaftar secara tunai pada waktu tersebut sekalipun, anda boleh membawa salinan penyata KWSP (jika bekerja) sebagai jaminan bahawa anda ada simpanan yang mencukupi (cukup syarat).
Bagi yang sudah berumur pula, tiada kata terlambat selama mana kita berusaha. Oleh itu, daftar sahaja dahulu sebagai ikhtiar kita dalam menunaikan ibadah. Pasti akan dibukakan jalannya nanti!
Fahami Sistem Giliran Haji
TH menggunakan sistem giliran berdasarkan “siapa cepat dia dapat”. Tempoh menunggu purata di Malaysia juga adalah sekitar 20 hingga 30 tahun.
Oleh itu, tidak hairan jika anda mendaftar haji hari ini, giliran anda mungkin tiba pada tahun 2100 dan ke atas. Jelas hal tersebut tidak masuk akal kerana pada waktu tersebut mungkin sahaja kita sudah tiada lagi.
Namun, terdapat pengecualian tertentu yang boleh mempercepatkan giliran seperti kuota khas warga emas (70 tahun ke atas), individu yang pertama kali tunaikan haji, kuota pengiring bagi yang memerlukan dan kekosongan akibat pembatalan jemaah lain.
Menurut kenyataan TH juga, giliran ditentukan berdasarkan tarikh pendaftaran, dan tiada keutamaan diberikan berdasarkan jumlah simpanan. Namun, mereka yang memohon kuota khas perlu menyediakan dokumen lengkap dan memenuhi kriteria tertentu.
Membuat Rayuan dengan Bersungguh-sungguh dan Berhemah
Bagaimana mungkin dengan rayuan boleh mempercepatkan giliran haji anda? Hal ini sangat memungkinkan kerana ramai jemaah yang mendapat panggilan, namun tidak dapat pergi atas pelbagai faktor.
Sebagai contoh, masalah kesihatan, kematian, ketiadaan mahram atau suami, hamil, kewangan yang belum mengizinkan dan bermacam-macam lagi.
Jika anda layak memohon kuota khas, anda boleh terus membuat rayuan sebaik sahaja kaunter permohonan dibuka (biasanya 1 hingga 2 bulan selepas musim haji) atau rujuk terus talian 03-6207 1919.
TH juga ada menyatakan bahawa setiap permohonan kuota khas akan dipertimbangkan secara teliti, bergantung kepada kekosongan dan keperluan mendesak.
Namun, permohonan atau rayuan juga haruslah dibuat secara berhemah dan bersungguh-sungguh. Hal ini demikian kerana selain kita, masih berbaki ratusan ribu orang yang turut memohon agar panggilan haji mereka diawalkan.
Selain menggunaka bahasa yang sopan dan mencukupkan simpanan, anda boleh menyertakan bersama kelebihan jika TH mengawalkan giliran anda.
Sebagai contoh, jika anda seorang doktor anda boleh menawarkan perkhidmatan pertolongan kecemasan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini kepada jemaah. Ini akan mempermudahkan kelulusan rayuan.
Simpanan Konsisten di Tabung Haji
Walaupun menambah simpanan tidak mempercepatkan giliran secara automatik, namun ia memastikan anda bersedia apabila giliran tiba.
Kos haji bersubsidi di Malaysia adalah sekitar RM10,980, tetapi kos sebenar boleh mencecah RM25,000 hingga RM30,000. Jika menabung secara konsisten, anda boleh menampung perbelanjaan tambahan peribadi.
Menurut laporan tahunan TH juga, dividen purata yang diberikan adalah sekitar 3 hingga 5 peratus setahun dan ini bergantung kepada prestasi kewangan institusi.
Ini membawa pulangan dividen tahunan secara pasif dan menjadikan TH sebagai platform simpanan yang strategik untuk perancangan haji anda.
Jika tidak mampu menyimpan dalam jumlah yang besar, cukuplah menyimpan RM50 ke bawah sebagai bentuk komitmen serius dan keazaman anda ingin menunaikan haji.
Melalui sikap konsisten ini, telah dibuktikan apabila ramai jemaah haji yang layak mendapat panggilan bahkan ada yang diawalkan kerana simpanan mereka yang sudah mencukupi walaupun bukan dari golongan berada.
Pertimbangkan Pakej Haji Swasta
Jika anda mempunyai kemampuan kewangan, pakej haji swasta boleh menjadi pilihan untuk mempercepatkan proses menunaikan haji. Pakej ini ada yang menawarkan tempoh menunggu lebih singkat (1-3 tahun).
Kemudahan premium seperti penginapan yang lebih selesa dan berhampiran masjid juga boleh didapatkan melalui pakej-pakej yang ditawarkan.
Namun, kosnya jauh lebih tinggi dan boleh bermula dari RM50,000 dan ke atas. Pastikan anda memilih agensi yang berdaftar dan patuh syariah untuk memastikan kelancaran urusan.
Sebagai langkah berjaga-jaga, anda juga boleh mendapatkan kepastian dengan TH sendiri. Menurut TH juga, mereka hanya bekerjasama dengan agensi yang sah dan diiktiraf kerajaan Malaysia serta Arab Saudi sahaja.
Faktor-faktor Lain yang Mempengaruhi Giliran Haji Anda
Selain petugas TH mungkin masih ramai yang tidak tahu bahawa ada beberapa agensi atau badan yang membolehkan pekerja yang berkhidmat di bawahnya mendapat kuota untuk menunaikan haji.
Sebagai contoh, tentera, polis, kakitangan universiti awam seperti UIAM/UIA, KKM, Jabatan Agama Islam Negeri, JAKIM, APM, PBT atau ahli akademik.
Imam Masjid, Guru Agama dan Ketua Kampung
Berdasarkan data sekitar 2012 hingga 2017, Yayasan 1MDB ada menghantar jemaah haji secara percuma. Mereka yang terpilih ini terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi JKKK.
Tahun tersebut sahaja, ia boleh mencecah seramai 1,100 jemaah yang layak. Tahun ini dan seterusnya pula bagaimana?
Setakat ini belum ada agensi yang jelas akan menaja golongan ini. Namun, anda boleh merujuk JAKIM atau Jabatan Agama Negeri masing-masing bagi yang berminat.
Bekerja di Arab Saudi
Jika anda memang layak dari segi kelulusan seperti bahasa dan sebagainya, mungkin anda boleh mencubanya. Hal ini demikian kerana ramai rakyat Malaysia berkelulusan dalam bidang petroleum atau perubatan sudah menunaikan haji ketika bekerja di sana.
Tambahan pula, jika anda sudah menerima visa bekerja di Arab Saudi, lebih mudahlah urusan anda hendak menunaikan haji dan tidak perlu menunggu kuota dari Malaysia.
Berperan sebagai Figura Awam, Pempengaruh atau Tokoh
Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa Raja Arab Saudi akan menjemput khas tokoh-tokoh daripada setiap negara Islam untuk menunaikan haji secara esklusif dan percuma.
Program ini dinamakan sebagai “The Custodian of The Two Holy Mosques for Hajj Program”. Kebiasaannya, dalam 60 orang jemaah akan dijemput untuk setiap negara.
Menurut TH juga, Neelofa (artis terkenal Malaysia) pernah mendapat kuota haji secara langsung daripada Kedutaan Arab Saudi dan bukan melalui kuota biasa yang diuruskan Tabung Haji.
Mereka yang diundang ini, bukan sahaja dapat menunaikan haji secara percuma, bahkan dapat layanan istimewa daripada kerajaan Arab Saudi.
Mendapatkan Jodoh atau Pasangan yang Sudah hampir Mendapat Panggilan Haji
Selepas ini, berkemungkinan waktu panggilan menunaikan haji juga akan menjadi salah satu kriteria penting yang dipertimbangkan dalam memilih jodoh.
Hal ini demikian kerana, seandainya isteri mendapat panggilan haji, secara automatik mahram atau suaminya akan dapat ikut bersama menunaikan haji.
Sebaliknya, jika suami pula yang dapat, walaupun tidak automatik dan masih perlu membuat permohonan, kebiasaannya ia lebih mudah untuk diluluskan berbanding kes lain. Oleh itu, janganlah segan atau malas untuk membuat rayuan.
Secara keseluruhannya, mendapat giliran untuk menunaikan haji memerlukan perancangan rapi, kesungguhan dan kesabaran.
Dengan memahami sistem giliran, memanfaatkan kuota khas, dan menabung secara konsisten, anda boleh meningkatkan peluang untuk mempercepatkan proses kelulusan panggilan ke tanah suci.
Akhir sekali, sertailah usaha ini dengan doa dan tawakal kepada Allah SWT kerana rezeki haji merupakan satu anugerah yang hanya diberikan jika seseorang benar-benar layak dan diredhai oleh-Nya.