BNM Cadang Hapus Faedah Tetap Pinjaman: Apa Manfaatnya?

Secara umumnya, setiap hutang atau pinjaman yang dibuat di bawah mana-mana bank, tidak lari daripada yang namanya faedah atau bunga. Semakin lama tempoh yang diperlukan untuk melangsaikan pinjaman, semakin besar juga nilai faedah yang dikenakan.

Tambahan pula, kadar faedah yang terlalu tinggi juga, sudah pasti akan memberikan bebanan kepada peminjam. Ia terlihat seolah-olah menganiaya peminjam dan bukannya meringankan beban mereka.

Oleh hal demikian, baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengetengahkan isu mengenai perubahan terhadap kaedah pengiraan faedah dalam pinjaman peribadi dan beberapa isu penting lain.

Faedah
Sumber: NST

Laporan yang dikeluarkan ini sudah pasti merupakan respon daripada hasil liputan dan maklum balas pengguna kebelakangan ini, berdasarkan prestasi dan kesan yang mereka terima daripada syarikat-syarikat bank di Malaysia.

Antara isu yang diketengahkan termasuklah Penghapusan Kadar Faedah Tetap (Flat Rate), Penilaian Semula Kemampuan Pengguna, Penerapan Tempoh Pinjaman yang Lebih Singkat, Kesan Kepada Kewangan Pengguna, Cadangan dan Maklum Balas.

Kadar Pengiraan Kaedah Tetap (Flat Rate Interest) Dihapuskan?

Kadar pengiraan kaedah tetap atau flate rate interest merupakan salah satu cara pengiraan faedah pinjaman. Ia sering diguna pakai untuk pinjaman peribadi atau pinjaman kereta.

Berdasarkan kaedah ini, faedah dikira berdasarkan jumlah asal pinjaman (pokok) dan bukan daripada baki pinjaman yang belum dijelaskan.

Faedah
Contoh Pengiraan Kaedah Flate Rate Interest

Walaupun ia terlihat lebih mudah untuk difahami, ditambah dengan kadar faedah tahunan yang terlihat rendah (6%), namun, hakikatnya peminjam perlu membayar kadar faedah yang tinggi berbanding jumlah sepatutnya.

Disebabkan faedah dikira berdasarkan jumlah pokok, peminjam membayar lebih banyak faedah walaupun baki pinjaman berkurangan setiap bulan.

Ini mengakibatkan peminjam mungkin masih dikenakan faedah untuk keseluruhan tempoh, walaupun mereka mampu melangsaikan hutang lebih awal.

Peraturan 78 (Rule of 78)

Kedua-dua kaedah iaitu flat rate interest dan Rule 78 saling berkait antara satu sama lain, namun fungsinya agak berbeza.

Jika flat rate interest adalah polisi yang mempunyai kadar faedah tetap sepanjang tempoh pinjaman, Rule 78 pula menggunakan formula yang menekankan bayaran faedah pada bulan-bulan awal pinjaman dilakukan.

Namun begitu, kedua-dua kaedah ini tetap mengenakan kadar faedah tetap yang tinggi berdasarkan pengiraannya setiap bulan.

BACA  Bila masa terbaik untuk buat pinjaman peribadi?

Angka “78” pula datang daripada jumlah keseluruhan nombor bagi 12 bulan dalam setahun (1 + 2 + 3 + … + 12 = 78). Tidak jauh bezanya dengan flate rate interest, Rule 78 mengenakan banyak faedah berdasarkan jumlah pokok pada bulan-bulan awal pinjaman.

Sebagai contoh, 20% pada bulan pertama, 19% pada bulan kedua, dan seterusnya.

Faedah
Contoh Pengiraan Rule of 78

Ia bukan hanya merumitkan pengiraan kadar faedah yang dikenakan, bahkan membuatkan peminjam untuk membayar jumlah yang tinggi pada awal bulan.

Sama seperti yang dijelaskan sebelum ini, jika hutang dilangsaikan awal sekali pun, peminjam tetap dikenakan faedah yang lebih tinggi kerana jumlah terbesar telah diagihkan pada bulan-bulan awal (faedah dipercepatkan).

Melalui kaedah ini, bank akan mendapat lebih banyak faedah di awal tempoh pinjaman. Tujuannya jelas bagi memudahkan mereka mendapatkan pulangan semula wang yang telah dipinjamkan dengan lebih cepat.

Oleh itu, sebagai pengguna kita perlu bijak memahami kaedah faedah yang dikenakan agar ia bersesuaian dengan keperluan dan kemampuan kita.

Kaedah yang Mungkin Sesuai untuk Menggantikan ‘Flat Rate Interest’

Walaupun BNM tidak menyatakan secara langsung berkenaan kaedah yang akan menggantikan flat rate interestnamun terdapat beberapa kaedah yang mungkin sesuai dan boleh diguna pakai.

Kaedah Kadar Faedah Baki Berkurangan (Reducing Balance Interest Rate)

Sumber: Pinterest

Secara ringkasnya, kaedah ini sangat membantu kerana faedah yang dikenakan hanya kepada baki pinjaman yang masih belum dibayar peminjam. Berbeza dengan flate rate interest yang membuat kiraan berpandukan jumlah pinjaman asal secara keseluruhan.

Apabila prinsipal (jumlah asal) berkurang setiap bulan, jumlah faedah yang dikenakan juga akan turut berkurang. Ini jelas mencerminkan ketelusan dan keadilan sistem pengiraan faedah berbanding kaedah sebelumnya.

Melalui kaedah Reducing Balance Interest Rate ini, ia akan lebih memudahkan peminjam untuk mengira jumlah keseluruhan faedah yang dikenakan dan jumlah keseluruhan pinjaman juga dapat dijimatkan.

Kaedah Kadar Faedah Berasaskan Risiko (Risk-Based Interest Rate)

Sumber: Pinterest

Kaedah ini mengenakan faedah berdasarkan profil risiko peminjam. Peminjam dengan skor kredit yang lebih baik akan dikenakan kadar faedah yang lebih rendah.

Meskipun kaedah ini terlihat seperti ‘pilih kasih’, namun ia bertujuan menggalakkan tingkah laku kewangan yang baik, seperti menjaga skor kredit.

BACA  Apa itu bank digital & apa bezanya dengan bank biasa? Ini perkara yang korang perlu tahu

Kaedah Tanpa Faedah dengan Yuran Pengurusan Tetap

Kaedah ini sedikit berbeza kerana ia tidak mengenakan faedah kepada peminjam. Namun begitu, institusi kewangan ada mengenakan yuran tetap yang munasabah berdasarkan jumlah pinjaman dan tempoh untuk tujuan kos pengurusan.

Kaedah ini juga antara pilihan sistem kewangan islam yang patuh syariah dan mudah difahami kerana ia terlihat lebih telus.

Kesannya, peminjam dapat mengelakkan komplikasi pengiraan faedah, terutama bagi mereka yang kurang mahir dalam aspek kewangan.

Hal ini demikian kerana pembayaran lewat tidak akan dikenakan sebarang bunga atau penambahan faedah kerana jumlah yuran yang dikenakan sudah dietapkan sejak awal perjanjian pinjaman dibuat.

Kaedah Pembiayaan Islamik (Berasaskan Syariah)

Terdapat Pelbagai Institusi Kewangan di Malaysia yang Patuh Syariah

Tidak jauh beza dengan konsep bagi kaedah sebelumnya, kerana kaedah ini tidak mengenakan caj faedah sama sekali.

Ia mengutamakan prinsip Murabahah (jual beli) atau Ijarah (sewa beli) tanpa faedah, namun keuntungan telah ditetapkan pada awal perjanjian.

Kaedah ini juga sangat digalakkan kerana ia berlandaskan etika kewangan Islam, menjadikannya lebih sesuai untuk pengguna di Malaysia yang majoritinya muslim.

Ini membolehkan pengguna merancang kewangan dengan lebih baik kerana beban kewangan yang lebih stabil dan jelas disebabkan tiada perubahan kadar faedah.

Penilaian Semula Kemampuan Pengguna Sebelum Membuat Pinjaman dengan Pihak Bank

Sumber: Pinterest

BNM juga menekankan bahawa, penyedia perkhidmatan kewangan perlu menilai semula kemampuan pengguna untuk membayar sebelum memberi kemudahan Buy Now Pay Later (BNPL) seperti penggunaan kad kredit dan sebagainya.

Demi kebaikan peminjam dan pihak bank, penyedia perkhidmatan tidak dibenarkan sewenang-wenangnya menawarkan BNPL kepada pengguna yang bankrap agar tidak membebankan mereka.

BNM menekankan pentingnya menilai sejarah pembayaran pengguna, termasuk pembayaran bil dan pinjaman lain, agar dapat mengelakkan pengguna daripada terjerat dalam hutang yang berpanjangan.

Tempoh Pinjaman yang Lebih Singkat

Kita sedia tahu bahawa tempoh masa bayaran balik yang dikenakan kepada peminjam kebiasaannya boleh mencecah 9 hingga 10 tahun untuk pinjaman seperti pinjaman peribadi atau kenderaan.

Bagi pinjaman rumah, pendidikan, atau perniagaan pula, tempoh boleh menjadi lebih panjang, iaitu 20 hingga 35 tahun. Ia bergantung kepada jumlah pinjaman dan kemampuan peminjam.

Sumber: Pinterest

Berdasarkan laporan, BNM telah mencadangkan untuk mengurangkan tempoh maksimum pinjaman peribadi kepada 7 tahun (daripada 10 tahun).

BACA  Macam mana KWSP jana wang untuk dividen?

Keputusan ini dibuat berpandukan contoh dan amalan daripada negara lain seperti Australia dan Singapura. Ia bertujuan mengurangkan risiko hutang yang tidak terkawal kepada peminjam.

Pada masa yang sama, ia merupakan langkah penting daripada BNM dan kerajaan bagi mempromosikan pengurusan kewangan yang lebih bertanggungjawab.

Perlu diingatkan bahawa, tempoh yang panjang sememangnya menyediakan bayaran bulanan lebih rendah, namun jumlah faedah keseluruhan akan meningkat tinggi.

Oleh itu, penting untuk peminjam mempertimbangkan dan menilai semula kemampuan kewangan mereka sebelum memilih tempoh pembayaran.

Kesan Kepada Kewangan Pengguna

Sumber: Pinterest

Sebagai pengguna, kita seharusnya lebih bijak dalam mengenalpasti hak kita agar tidak mudah diperdaya dengan kaedah yang tidak adil dan menganiaya hak pengguna selama ini.

Penghapusan kadar faedah tetap (flat rate) daripada BNM, membolehkan pengguna membayar faedah dengan lebih adil berdasarkan baki pinjaman yang masih ada.

Pengguna dapat merancang pembayaran dengan lebih mudah tanpa perlu risau akan beban faedah yang tinggi pada permulaan tempoh pinjaman.

Penilaian semula BNPL juga akan mengurangkan jumlah pengguna yang berisiko diisytiharkan muflis kerana mereka diberi pinjaman berdasarkan kemampuan sebenar. Ini akan mengelakkan masalah kewangan yang lebih besar di kemudian hari.

Berdasarkan data akhir 2023, 46.26% kes kebankrapan yang terjadi di Malaysia berpunca daripada pinjaman peribadi.

Oleh itu, kesemua langkah-langkah yang diambil ini, diharapkan mampu membantu mengurangkan risiko kewangan yang ditanggung pengguna.

Cadangan dan Maklum Balas

Sumber: Pinterest

Di akhir laporan, BNM turut membuka ruang untuk maklum balas terhadap cadangan ini dan meminta agar penyedia pinjaman memberikan maklum balas sebelum 14 Februari 2025.

Ia bertujuan memastikan polisi yang digubal tersebut sesuai dan bermanfaat kepada semua pihak sama ada bank mahupun peminjam.

Komitmen yang diusahakan BNM ini perlu dipuji kerana mereka bertindak bukan berdasarkan keuntungan pihak tertentu, melainkan untuk kemaslahatan bersama dan mewujudkan sistem yang berdaya saing.

Secara keseluruhannya, perubahan yang dicadangkan bertujuan memastikan pinjaman peribadi dilakukan secara lebih telus, adil, dan bertanggungjawab.

Pada masa yang sama, BNM berharap agar inisiatif ini mampu mengurangkan risiko hutang yang tidak terkawal dalam kalangan pengguna, serta memastikan kestabilan kewangan negara terjamin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *