Keberhutangan dalam kalangan golongan muda di Malaysia telah menjadi fenomena yang membimbangkan, terutamanya dalam konteks ekonomi yang tidak menentu. Tekanan kewangan yang mereka hadapi kini menjadi satu cabaran besar.
Data daripada kajian Pusat Penyelidikan Undian UCSI menunjukkan bahawa ramai yang terpaksa mengambil pinjaman untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.
Ini berdasarkan sampel populasi 1,077 responden, dengan julat umur 18 hingga 40 tahun. Dari jumlah itu, 48% adalah daripada kaum Cina, 38% (Melayu) dan 14% (India). Selain itu, terdapat beberapa lagi dapatan lain yang diperoleh menerusi kajian mereka.
73% anak muda berhutang kerana komitmen kewangan
Daripada 1,077 golongan muda dalam kajian ini, 73% telah mengambil pinjaman. Ini menunjukkan bahawa kira-kira tiga perempat daripada golongan muda di Malaysia tidak mempunyai modal yang mencukupi untuk komitmen kewangan mereka.
Walaupun jumlah peminjam dalam kalangan golongan muda adalah membimbangkan, 83% daripada mereka dapat membayar pinjaman mereka tepat pada masanya.
Sebab utama pengambilan pinjaman adalah kekangan kewangan (42%), inflasi (22%) dan gaya hidup mewah (21%).
Selain itu, soalan dalam undian ini juga menanyakan tujuan pinjaman yang dibuat oleh responden. Hasilnya menunjukkan bahawa 30% adalah pinjaman kenderaan, 28% adalah pinjaman pendidikan dan 16% adalah pinjaman perumahan.
Menurut hasil ini, kenderaan dan pendidikan adalah faktor utama yang menyebabkan golongan muda memohon pinjaman. Agak membimbangkan untuk melihat pinjaman kenderaan berada di puncak piramid kerana menurut Jabatan Insolvensi Malaysia, pinjaman kenderaan (14.39%) adalah faktor penyebab kedua kadar kebankrapan selepas pinjaman peribadi (42.24%) pada tahun 2022.
Status kewangan terjejas akibat Covid-19
Mengenai kesan COVID-19 terhadap gaya hidup atau kos sara hidup mereka, 58% daripada responden menyatakan bahawa status kewangan mereka telah terjejas. Hasil 58% responden yang terjejas oleh COVID-19 mungkin disebabkan oleh pengangguran, pendapatan yang tidak stabil dan peningkatan komitmen kerana pandemik telah memberi kesan kepada banyak syarikat dan individu di Malaysia.
Akhir sekali, undian ini mencari pandangan mengenai sebab utama kekangan kewangan mereka. Menurut penemuan ini, peningkatan kos sara hidup dan simpanan yang tidak mencukupi (27%) adalah punca utama kekangan kewangan, manakala perubahan gaya hidup adalah punca ketiga utama kekangan kewangan.
Perubahan gaya hidup mungkin diperlukan oleh sesetengah golongan muda kerana banyak perkara telah berubah semasa pandemik. Salah satu contohnya adalah pelajar universiti; peralihan dari kelas fizikal ke kelas dalam talian memerlukan setiap pelajar mempunyai komputer riba sendiri dan Wi-Fi di rumah untuk mereka menyertai kelas dalam talian yang secara tidak langsung menjejaskan kesejahteraan kewangan harian mereka.
Kesimpulannya, kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI ini mendedahkan bahawa kebanyakan golongan muda di Malaysia menghadapi kekangan kewangan yang ketara dan mendesak. Pinjaman-pinjaman ini dilihat perlu bagi memenuhi keperluan asas seperti kenderaan, pendidikan dan perumahan.
Walaupun kebanyakan mereka dapat membayar pinjaman tepat pada masanya, isu-isu seperti inflasi, kos sara hidup yang meningkat, dan perubahan gaya hidup akibat pandemik COVID-19 terus memberi tekanan kepada kewangan mereka. Hutang juga tidak semua yang buruk; ada juga yang baik dan boleh dianggap sebagai pelaburan masa depan.