Ringgit Malaysia jadi semakin rendah? Ini konsep ringkas tambat nilai mata wang negara

tambat

Sejak belakangan ini, ramai menyuarakan rasa risau dan gusar tiapkali melihat tukaran nilai mata wang negara. Dibandingkan dengan nilai mata wang asing seperti Dollar Amerika, ‘jurang’ perbezaan nilai dilihat semakin membesar.

Maka untuk mengurangkan atau mendekatkan ‘jurang’ perbezaan tersebut, terdapat suara yang menyatakan bahawa Malaysia patut tambat nilai Ringgit supaya tidak terlalu jauh nilainya dengan Dollar Amerika. Penyusutan kecil nilai Ringgit juga telah membina persepsi negatif terhadap kesihatan fiskal negara.

Untuk meringankan risau anda, kita perlulah terlebih dahulu faham mengenai konsep penambatan sesebuah nilai mata wang. Secara amnya, turun naiknya sesebuah angka dalam tukaran mata wang harian adalah suatu hal yang biasa dalam dunia tukaran mata wang.

Kenapa ada Negara suka Tambat Mata Wang?

Sebenarnya, langkah penambatan mata wang merupakan salah satu dasar ekonomi yang melibatkan pegangan tetap terhadap nilai mata wang negara terhadap mata wang asing, biasanya dolar Amerika Syarikat (AS). Dasar ini bertujuan untuk mengekang ketidakstabilan nilai mata wang tempatan serta menjaga ekonomi negara daripada krisis kewangan yang mungkin timbul akibat fluktuasi nilai tukaran.

Keputusan untuk menambat mata wang tidak boleh diambil dengan mudah kerana ia memerlukan komitmen dan kecekapan yang tinggi dari pihak berkuasa kewangan negara. Ini kerana, apabila mata wang ditambat, negara perlu memastikan bekalan mata wang asing mencukupi untuk mengekalkan nilai tukaran yang ditetapkan. Sekiranya bekalan ini tidak mencukupi, ia boleh menyebabkan pasaran gelap dan spekulasi yang tidak diingini.

Via Unsplash

Dari segi positifnya, langkah tambat nilai mata wang memberikan kestabilan kepada pasaran kewangan dan perdagangan antarabangsa. Ini membolehkan perniagaan merancang dengan lebih yakin dan mengurangkan risiko yang berkaitan dengan fluktuasi nilai mata wang. Selain itu, menambat mata wang juga boleh meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam pasaran tempatan kerana mereka dapat meramal dengan lebih tepat mengenai keadaan pasaran.

BACA  Kalau bank pula yang bankrap, apa akan jadi pada duit kita?

Setakat ini, terdapat 14 negara yang telah menambat nilai mata wang mereka kepada Dollar Amerika (USD) seperti Bahrain, Belize, Cuba, Djibouti, Hong Kong SAR, China, Jordan, Lebanon, Oman, Panama, Qatar, Saudi Arabia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Eritrea.

Kenapa Malaysia tak Tambat Ringgit kali ini?

Ini adalah soalan popular yang terluncur di mulut orang ramai berkenaan isu tambat wang. Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Sukhdave Singh berpendapat bahawa langkah tambat Ringgit adalah keputusan yang besar dan menuntut persediaan-persediaan lain oleh kerajaan Malaysia. Peluang ini akan mudah dimanipulasikan oleh pihak spekulator dan pemastautin dari luar negara untuk menguji nilai tambahan tersebut.

Bukan itu sahaja, fleksibiliti dalam menjalankan dasar kewangan menjadi terhad. Negara mungkin menghadapi kesukaran dalam menyesuaikan kadar faedah dan dasar monetari lain mengikut keperluan ekonomi semasa. Sekiranya nilai tukaran tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa, ini boleh menyebabkan masalah seperti kekurangan atau kelebihan dalam eksport dan import.

Via NST

Walaupun menambat mata wang boleh memberikan kestabilan dalam jangka pendek, ia mungkin tidak memberikan keupayaan yang mencukupi untuk menangani cabaran ekonomi yang tidak dijangka. Negara mungkin terhad dalam tindakan yang boleh diambil untuk menguruskan krisis kewangan atau situasi ekonomi yang genting.

Ditambah lagi, ini akan membebankan keupayaan bekalan rizab mata wang negara. Sekiranya bekalan ini tidak mencukupi, negara mungkin menghadapi kesukaran dalam mengekalkan pegangan terhadap nilai mata wang.

Oleh demikian, keputusan Malaysia untuk tidak menambat nilai ringgit buat beberapa ketika ini telahpun dipertimbangkan dengan teliti. Langkah bijak ini diharap dapat memastikan kestabilan ekonomi jangka panjang dan kesejahteraan rakyat dapat dikekalkan dengan baik.

BACA  Gerakan FIRE, kumpul wang persaraan untuk keselesaan hari tua

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *