Bermula awal tahun ini, negara kita telah mengenakan cukai baharu iaitu cukai jualan sebanyak 10 peratus kepada barangan import termasuklah barangan yang dijual di pelantar dalam talian seperti Shopee dan Lazada. Sebelum ini, kerajaan merancang untuk mengenakan cukai serupa pada 1 April 2023 bertepatan dengan Bajet 2022, tetapi pelaksanaannya telah ditangguhkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Pengenalan cukai ini mengundang kritikan dari masyarakat, terutamanya kerana pengumuman yang dibuat dalam jangka masa yang pendek pada Disember, sebelum pelaksanaannya pada Januari 2024.
Umumnya, kita tahu bahawa cukai merupakan salah satu cara utama bagaimana kerajaan memperoleh pendapatan untuk kemajuan negara. Begitu juga dengan cukai barangan bernilai rendah (LGV), dimana ia merupakan cukai yang turut dilangsungkan oleh pelbagai negara seluruh dunia. Jom kita fahami dahulu apa sebenarnya cukai barangan bernilai rendah dan kenapa sesebuah negara wujudkan cukai seperti ini kepada rakyatnya.
Cukai barangan bernilai rendah salah satu cukai jualan yang ada seluruh dunia, ini beberapa hal anda harus tahu
Cukai jualan adalah cukai penggunaan yang dikenakan oleh kerajaan negeri dan tempatan ke atas jualan barangan dan perkhidmatan. Biasanya, ia adalah peratusan daripada harga runcit dan dikutip oleh penjual pada masa transaksi. Dana yang dikumpul melalui cukai jualan digunakan untuk membiayai pelbagai perkhidmatan dan program kerajaan.
Oleh demikian, cukai barangan bernilai rendah yang diperkenalkan oleh Malaysia sebenarnya sudah lama diperkenalkan di negara-negara lain seperti Singapura, Australia, Switzerland, New Zealand, Norway dan United Kingdom.
Cukai jualan khususnya cukai barangan bernilai rendah ini lazimnya mempunyai beberapa ciri tertentu. Antaranya, cukai barangan bernilai rendah boleh ditentukan mengikut bidang kuasa sesebuah kawasan atau negeri. Kadar cukai jualan berbeza dari satu negeri ke negeri yang lain dan juga boleh berbeza di peringkat tempatan.
Sesetengah negeri mempunyai kadar yang ditetapkan di seluruh negeri, manakala yang lain membenarkan bidang kuasa tempatan untuk mengenakan cukai tambahan, menghasilkan kadar yang berbeza di kawasan yang berbeza. Namun demikian, keadaan ini tidak berlaku dalam Malaysia.
Selain itu, cukai jualan juga biasanya mempunyai senarai pengecualian barangan. Pengecualian biasa termasuk makanan untuk penggunaan di rumah, ubat-ubatan dengan preskripsi, dan beberapa jenis pakaian. Begitupun untuk cukai barangan bernilai rendah yang telah diperkenalkan baru-baru ini di Malaysia.
Pengecualian hanya diberikan kepada rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok kerana ia tertakluk kepada jenis cukai yang lain. Cukai ini tidak dikenakan ke atas rokok, produk tembakau, minuman keras dan rokok paip kerana kesemua barang ini telah dikenakan duti import, duti eksais dan cukai jualan.
Di Malaysia, cukai barangan bernilai rendah merupakan salah satu jenis cukai jualan kepada pengguna. 10 peratus ke atas nilai barangan yang diimport dan dijual secara dalam talian akan dikenakan kepada pengguna.
Ini tiga sebab kenapa cukai barangan bernilai rendah itu ‘logik’
Cukai barangan bernilai rendah (LVG) memberikan beberapa kebaikan kepada ekonomi dan industri Malaysia. Pertama, pengenaan cukai LVG pada kadar 10 peratus memberikan perlindungan kepada pengeluar tempatan. Dengan adanya cukai ini, barangan import dengan harga rendah akan menghadapi kos tambahan, mendorong pengguna untuk memilih barangan buatan tempatan, dan merangsang pertumbuhan sektor pengeluaran dalam negara serta mencipta pekerjaan.
Cukai LVG adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan kesaksamaan persaingan kepada perniagaan tempatan, terutamanya dalam menghadapi persaingan barangan import, terutamanya dari pengeluar China. Awalnya, menjadi kelaziman di peringkat global untuk tidak mengenakan cukai jualan dan duti import ke atas barang import di bawah nilai ‘de minimis’ (minimum) iaitu RM500 di Malaysia. Tujuannya adalah untuk memudahkan urusan pelepasan kastam serta penghantaran melalui pos dan kurier.
Namun begitu, kepesatan transaksi jualan dalam talian yang menjadi pilihan pengguna pada masa ini, telah mewujudkan layanan cukai yang tidak sama rata antara perniagaan dalam talian yang mengimport barang dari luar negara dan perniagaan yang beroperasi secara fizikal di Malaysia.
Oleh sebab pengilang luar negara seperti China tidak dikenakan cukai dan membayar kos yang sama seperti pengilang tempatan, ini membawa lebih banyak keuntungan kepada para pengilang luar negara.
Selain itu, cukai LVG mendorong peningkatan kualiti produk tempatan dengan merangsang inovasi dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini membantu pengeluar tempatan menghasilkan produk yang lebih baik, bermutu, dan memenuhi keperluan pasaran. Peningkatan kualiti ini juga dapat meningkatkan imej produk Malaysia di peringkat antarabangsa.
Ini menjadi sebab kedua mengapa pelaksanaan barangan bernilai rendah diharapkan dapat mengurangkan pergantungan kita terhadap barangan import dan memberi ruang pasaran kepada pengeluar barangan tempatan. Ini selari dengan fokus kerajaan dalam misi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan menjelang 2027.
Sebab terakhir adalah mekanisme cukai LVG melibatkan penjual dalam talian itu sendiri. Mereka diwajibkan mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) jika jumlah nilai jualan LVG yang dibawa masuk ke Malaysia melebihi RM500,000 dalam tempoh 12 bulan. Ini membantu mengawal pasaran dalam talian, memastikan transaksi dalam talian dipantau dan dikenakan cukai dengan adil, dan meminimakan amalan pengelakan cukai untuk menyokong keadilan dalam sistem cukai.
Secara keseluruhan, pengenaan cukai barangan bernilai rendah membawa pelbagai kebaikan, termasuk perlindungan ekonomi tempatan, peningkatan pendapatan kerajaan, dan galakan terhadap peningkatan kualiti produk dan inovasi. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan kesannya mulai dirasakan dalam kalangan pengguna apabila laman sesawang Scoop.my melaporkan bahawa terdapat sesetengah barangan sudahpun naik harga tanpa sebarang kenyataan atau makluman kepada pengguna.
Mengikut laman tersebut, hanya Shopee sahaja setakat ini yang memaklumkan kepada pengguna tentang kemungkinan naik harga khususnya untuk para kedai dalam talian dari luar negara seperti China.