Kalau bank pula yang bankrap, apa akan jadi pada duit kita?

bank

Bank merupakan institusi kewangan yang memegang peranan penting dalam memastikan aliran kewangan yang stabil dan selamat di Malaysia. Ringkasnya, urusan kewangan kita akan menjadi lebih pantas dan mudah apabila kita memiliki kemudahan bank sama ada untuk menabung atau melaburkan wang tersebut.

Namun begitu, muncul juga situasi di mana sesebuah bank yang berjaya dan megah boleh mengalami kegagalan. Lebih teruk, kegagalan ini boleh menyebabkan pengeluaran panik atau bank run yang akan memudaratkan keadaan sedia ada. Sebenarnya, apa yang akan jadi pada duit kita jika bank simpanan anda gagal?

Via Unsplash

Kenapa sesebuah bank boleh gagal?

Imej dari Mortgage Professional.

Umumnya, ada dua situasi di mana sesebuah bank boleh gagal. Bank dianggap ‘gagal’ apabila ia tidak mampu lagi membayar para pendeposit. Pendeposit yang dimaksudkan adalah pengguna bank itu sendiri, termasuklah mereka yang menyimpan wang mereka dalam simpanan bank tersebut.

Wang yang diterima oleh bank pada setiap hari sebenarnya tidak hanya disimpan, sebaliknya ia akan dipinjamkan atau dilaburkan kepada aset-aset bank yang lain untuk mendapatkan keuntungan mereka sendiri. Akan tetapi sekiranya nilai aset bank turun di bawah nilai pasaran liabiliti, maka insolvensi (ketidakmampuan untuk membayar) boleh berlaku.

Insolvensi boleh berlaku akibat sesebuah risiko pelaburan yang tinggi ataupun pemberian pinjaman kepada entiti yang gagal memenuhi tanggungjawab mereka untuk membayar kepada bank. Seterusnya, ini boleh menyebabkan bank tidak dapat membayar para depositor dan dapat menimbulkan ketakutan dalam kalangan pendeposit.

Keadaan akan bertambah buruk apabila para pendeposit yang takut kehilangan wang mereka mulai mengeluarkan atau menarik balik wang mereka daripada bank tersebut. Hal ini akan menyusutkan aset tunai bank.

Kita bankrap bila bank bankrap?

Imej dari CUInsight.

Kejadian bank jatuh bankrap ini bukanlah suatu kejadian yang pelik dan asing dalam sejarah perbankan dunia. Malah dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa kes dimana sesebuah bank gagal membayar wang pendeposit dan telah membuatkan kerajaan mereka campur tangan.

BACA  Tak ada simpanan walaupun RM1,000? Jom tengok sama ada korang bersedia atau tak untuk bersara

Salah satu contoh terbaharu adalah kes Bank Silicon Valley dan Signature Bank yang terpaksa ditutup tahun ini. Bank Silicon Valley mempunyai pelbagai aset pelaburan, khususnya dalam sektor teknologi dan dunia syarikat baharu. Ini diburukkan lagi dengan polisi kewangan Amerika Syarikat yang menaikkan kadar bunga untuk mengawal kadar inflasi mereka. Akhirnya, ini mengakibatkan banyak syarikat baharu ini gagal membayar hutang-hutang mereka kepada Bank Silicon Valley.

Dalam konteks Malaysia, kita juga telah menubuhkan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) untuk melindungi para depositor di Malaysia. PIDM merupakan agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2005 di bawah Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta PIDM).

Antara peranan PIDM adalah untuk mentadbir sistem insurans deposit dan sistem perlindungan manfaat takaful dan insurans. PIDM akan lindungi pendeposit dan pemilik sijil takaful serta polisi insurans sekiranya sesebuah institusi ahli PIDM mengalami kegagalan.

PIDM juga diberi mandat untuk menyediakan insentif bagi pengurusan risiko yang wajar dalam sistem kewangan, serta menggalakkan kestabilan sistem kewangan. Oleh sebab itu, sekiranya sesebuah bank gagal membayar wang pendeposit, PIDM akan bertindak sebagai pengawalselia dan pemudahcara bagi memastikan wang anda tidak ‘hilang’ begitu sahaja.

Sistem Insurans Deposit (DIS) PIDM akan memastikan anda akan dibayar balik dengan segera dan secara automatik. Mereka akan menjamin beberapa jenis akaun deposit:

  • Akaun simpanan
  • Akaun semasa
  • Deposit tetap
  • Deposit mata wang asing
  • Akaun deposit Islam
  • Draf bank, cek, arahan atau instrumen pembayaran lain yang dibuat terhadap akaun deposit

Semua jenis pendeposit, sama ada individu atau entiti perniagaan, dilindungi. Had perlindungan maksimum adalah RM250,000 bagi setiap pendeposit di setiap bank ahli. Ini termasuk amaun prinsipal deposit dan faedah / pulangan. Dengan had RM250,000 ini, 97% pendeposit dilindungi sepenuhnya.

BACA  Jangan terburu-buru! Ini 5 perkara penting sebelum anda membeli Rumah Lelong

Pastikan anda peka kepada pelaburan dilindungi PIDM

Pada masa kini, pelbagai instrumen kewangan telah diperkenalkan. Walaupun begitu, tidak semua pelaburan ini dilindungi oleh PIDM. Beberapa produk kewangan yang tidak dilindungi oleh PIDM adalah:

  • Produk berstruktur
  • Deposit yang tidak boleh dibayar di Malaysia
  • Peletakan Deposit pasaran wang antara bank
  • Instrumen deposit boleh niaga (NIDs) dan deposit pembawa lain
  • Perjanjian pembelian semula
  • Unit amanah dan saham
  • Produk pelaburan atau akaun berkaitan emas

Tanpa perlindungan PIDM, anda perlu menerima hakikat risiko kehilangan seluruh deposit pelaburan anda. Justeru, hal ini perlu dimasukkan dalam pertimbangan anda untuk memilih jenis pelaburan yang ada agar dapat membina kesihatan kewangan anda dengan bijaksana.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *