Kenapa nilai Ringgit berubah-ubah? Ini penjelasan & jawapannya

Sejak awal tahun ini, kita seringkali mendengar nilai Ringgit dilaporkan susut atau dibuka rendah. Berita ini pula disusuli pula dengan persepsi lain yang dirasakan semakin menekan seperti harga barangan semakin mahal dan isu kekurangan bahan mentah di pasaran. Tentulah situasi ini menambahkan keraguan tentang kebolehan negara dalam menghadapi kegawatan masa depan.

Hakikatnya, terdapat beberapa sebab mengapa nilai Ringgit berubah-ubah. Sebab-sebab ini sebenarnya turut berlaku dalam kebanyakan negara dan boleh dikatakan, merupakan suatu fenomena kewangan yang lazimnya berlaku dalam skala global.

Via Satuberita.my

Ini 5 sebab ringkas mengapa nilai mata wang berubah-ubah

Mata wang sebuah negara adalah faktor penting dalam ekonomi global yang sering berubah-ubah nilainya. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi perubahan nilai mata wang dan kebanyakan daripadanya adalah dinamika ekonomi dan peristiwa global.

1. Penawaran dan Permintaan

Perubahan nilai mata wang sering kali berkait rapat dengan undang-undang asas penawaran dan permintaan. Jika ekonomi suatu negara mengalami pertumbuhan yang pesat, permintaan terhadap mata wang negara tersebut akan meningkat. Sebaliknya, jika ekonomi mengalami kemerosotan, nilai mata wangnya mungkin merosot kerana kurangnya permintaan.

2. Kadar Faedah dan Inflasi

Kadar faedah yang tinggi dapat menarik pelabur asing untuk menanamkan modal dalam mata wang sesebuah negara, meningkatkan nilai mata wangnya. Di samping itu, inflasi yang rendah cenderung memperkukuh nilai mata wang kerana daya beli mata wang tersebut lebih tinggi.

Via Malaysiakini

3. Kondisi Ekonomi Global

Peristiwa-peristiwa di peringkat global turut mempengaruhi nilai mata wang. Krisis ekonomi, peperangan, atau ketidakstabilan politik di negara-negara utama boleh menyebabkan ketidakpastian dan mengakibatkan pelabur menarik balik modal, merosotkan nilai mata wang.

4. Baki Dagangan

Baki dagangan sesebuah negara, iaitu perbezaan antara nilai eksport dan import, juga memainkan peranan dalam menentukan nilai mata wang. Negara yang memiliki baki dagangan positif cenderung memiliki mata wang yang lebih kuat kerana terdapat permintaan yang tinggi terhadap mata wang negara tersebut untuk membayar eksport.

BACA  Ramai terlepas pandang: Ini maksud prinsip tawarruq dalam perbankan Islam

5. Campur tangan Kerajaan

Beberapa kerajaan memainkan peranan dalam menentukan nilai mata wang mereka dengan melakukan campur tangan dalam pasaran kewangan. Intervensi ini melibatkan pembelian atau penjualan mata wang oleh bank pusat untuk menstabilkan nilai mata wang.

Perubahan nilai mata wang adalah fenomena semulajadi dalam ekonomi global yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Dengan memahami sebab-sebab di sebalik perubahan ini, masyarakat dan pelabur dapat membuat keputusan yang lebih baik dalam menguruskan kewangan mereka.

Kecekapan ekonomi, dasar kewangan yang bijak, dan pemantauan terhadap peristiwa global adalah kunci untuk menjaga stabiliti nilai mata wang sesebuah negara.

Adakah kita perlu risau tentang nilai Ringgit merosot?

Setelah kita memahami lima sebab utama kenapa sesebuah nilai mata wang negara itu boleh berubah-ubah berdasarkan polisi dan situasi ekonomi semasa, ramai masih beranggapan Bank Negara dan polisi ekonomi Malaysia kurang sesuai dalam mendepani cabaran ekonomi pascapandemik.

Via Esquire Philipines

Hal ini diperjelaskan lebih mudah oleh seorang pempengaruh kewangan, Financial Faiz. Dalam salah satu video TikTok milik beliau, sebenarnya nilai mata wang Ringgit ini bukanlah pengukur yang baik untuk membentuk tanggapan salah tentang persepsi ekonomi Malaysia lemah.

Sebaliknya, kita harus mempertimbangkan pelbagai sisi dan faktor-faktor luaran lain seperti polisi OPR yang dikuatkuasakan oleh Amerika Syarikat. Polisi OPR Malaysia sejak Mei lalu kekal dalam 3.0%, manakala polisi OPR Amerika Syarikat (United States Federal Interest Rate) jauh lebih tinggi iaitu 5.25% hingga 5.50%.

Via The Edge Market

Polisi OPR mempengaruhi kadar faedah yang wujud dalam sesebuah negara, khususnya dalam pelbagai jenis pinjaman bank dan institusi kewangan lain. Bagi rakyat biasa, naik turun OPR sangat mempengaruhi kadar bunga yang harus dibayar dalam pinjaman seperti pinjaman rumah dan kereta. Namun bagi pelabur, naik turun OPR turut mempengaruhi pilihan dan nilai pelaburan dalam sesebuah negara.

BACA  Macam mana KWSP jana wang untuk dividen?

Oleh disebabkan kadar faedah atau kadar OPR di Amerika Syarikat meningkat, maka permintaan pelaburan untuk Amerika Syarikat lebih tinggi berbanding permintaan pelaburan di Malaysia. Misalnya, para pelabur akan memilih untuk melabur dalam saham-saham atau syarikat milik Amerika Syarikat kerana inginkan keuntungan yang lebih banyak berbanding melabur ke dalam syarikat milik Malaysia.

@financialfaiz

Nak naikkan matawang Ringgit Malaysia perlu naikkan OPR? Tapi kalau matawang Ringgit Malaysia meningkat, GDP negara akan menurun?! Dengar sini I explain dalam bahasa mudah untuk you guys faham. #financialfaiz #opr #gdp #matawangmalaysia #TikTokGuru

♬ original sound – Financial Faiz – Financial Faiz

Kita boleh naikkan OPR, cuma harus bersedia

Salah satu cara untuk naikkan mata wang kita adalah dengan menaikkan OPR Malaysia sehingga nilai yang lebih dekat atau setara dengan Amerika Syarikat. Pilihan ini bukanlah pilihan yang popular dalam kalangan rakyat, terutamanya yang terbeban dengan pinjaman kadar boleh ubah.

Via SME Loan Malaysia

Soal naik turun mata wang Ringgit sebenarnya tidak mencerminkan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). KDNK kita berkembang sehingga 3.9% menjelang akhir tahun ini. KDNK inilah pengukur yang penting jika kita ingin bicarakan soal perkembangan ekonomi, dimana ekonomi domestik kita masih lagi pada tahap yang baik.

Kalau kita ikut juga naikkan OPR kerana inginkan mata wang yang tidak kurang jauh dengan nilai USD, kita harus bersiap sedia dengan kadar faedah yang meningkat, kadar KDNK yang menurun dan kita akan lebih banyak bergantung kepada produk import.

Pergantungan ini boleh menyebabkan rantaian ekonomi kita lebih mudah terganggu dengan apa-apa peristiwa luar negara seperti krisis Ukraine dan krisis iklim cuaca yang melanda negara pengeluar makanan. Perkara-perkara ini sudahpun kita rasai ketika isu harga beras dan harga bawang dalam tahun terdekat.

Via Unsplash

Dengan rasional inilah, polisi Bank Negara untuk mengekalkan OPR sedia ada sebenarnya membantu kehidupan rakyat Malaysia berbanding mengejar tinggi rendahnya nilai mata wang Ringgit dibandingkan dengan nilai mata wang USD.

Bagi Amerika Syarikat, polisi ini sesuai untuk iklim ekonomi mereka agar dapat mengurangkan kadar pinjaman dan memaksa para pelabur untuk membelanjakan wang mereka semula ke dalam negara.

Kesimpulannya, jangan khuatir kerana negara kita masih lagi stabil dan memiliki kedudukan ekonomi yang baik untuk taraf kehidupan rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *