Kelebihan MLM? Terokai sudut positif sebagai cabang wang tambahan

Terokai kelebihan MLM

Bila kita sebut tentang kelebihan MLM, ramai menganggap bahawa konsep MLM sama dengan konsep skim cepat kaya. Benar, dahulunya skim cepat kaya berleluasa dan banyak memberi kesan kepada ramai orang yang sudah terjebak dalamnya.

Namun begitu, MLM pula sebenarnya memiliki konsep yang berlainan berbanding skim cepat kaya. Bahkan, MLM juga boleh diterokai sebagai salah satu jalan menambah pendapatan tambahan atau mungkin, dapat menjadi satu pendapatan utama yang sah di sisi undang-undang serta agama.

Secara asasnya, MLM merupakan pelan pemasaran pelbagai tingkat. Ini merupakan kaedah pemasaran yang selalu digunakan, sama seperti pelan pemasaran langsung (direct selling) untuk menjual pelbagai jenis produk.

MLM biasanya berupaya mewujudkan satu rangkaian antara pengkilang, ejen atau wakil pengedar dan pengguna. Beberapa istilah popular lain yang sebenarnya ada kaitan dengan MLM adalah perniagaan dropship dan affiliate marketing. Antara jenama MLM yang lazimnya kita dengar adalah Nutrilite, Amway dan Shaklee.

Terokai kelebihan MLM
Via Investopedia

Setelah kita fahami konsepnya, kita perlu faham mengapa MLM seringkali berhadapan dengan pelbagai tanggapan dan mitos yang kurang enak. Disamakan dengan skim Ponzi atau skim cepat kaya pun satu hal juga; inikan lagi apabila kita sendiri mempunyai kenalan atau ahli keluarga yang berminat menjana pendapatan dengan MLM.

Perkongsian dua penulis, Dr Siti Nurul Ain Jamil dan Najib Mohamed dalam buku mereka, Revolusi MLM cuba menerangkan beberapa tanggapan ini, dan bagaimana untuk mengelak dari terjebak dengan skim perniagaan yang bertopengkan MLM.

Banyak skim perniagaan bertopengkan MLM, ini cara bagaimana elak

Tanggapan pertama yang seringkali menghantui ramai ahli perniagaan MLM ini adalah mereka dikaitkan dengan skim cepat kaya. Skim cepat kaya turut menggunakan istilah yang popular dalam MLM seperti upline dan downline, dimana istilah ini merujuk kepada penajaan atau rekomendasi dari ahli lain kepada seseorang.

Upline bererti anda ditaja untuk masuk menjadi ahli, manakala untuk mengaut lebih banyak keuntungan, anda perlu mencari ramai downline dalam rangkaian anda. Oleh sebab itu, ini mengaburi kefahaman orang ramai tentang MLM.

BACA  Bayar Booking Fee sebelum beli atau sewa rumah: Sah atau tidak dari segi undang-undang?

Baca Juga :

Via Feedough

Sebenarnya dalam perundangan Malaysia, MLM dibenarkan untuk beroperasi dengan syarat-syarat yang ketat.

Akta 500 Jualan Langsung dan penubuhan beberapa badan kerajaan seperti Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dipertanggungjawabkan untuk memantau aktiviti penjualan termasuklah syarikat-syarikat MLM.

Bahkan, syarikat-syarikat MLM juga wajib mempunyai sijil yang dikeluarkan oleh KPDNHEP untuk menjalankan perniagaan mereka dan bagi mengelak wujudnya pihak yang cuba memanipulasi konsep perniagaan MLM dengan niat buruk.

Salah satu kunci untuk mengelak perangkap skim cepat kaya yang mendakwa mereka adalah perniagaan MLM yang sah adalah dengan melihat dahulu produk yang ditawarkan.

Kebiasaannya, skim cepat kaya menawarkan produk yang berkualiti rendah atau boleh diragui kualitinya. Mungkin juga, skim yang cuba ditawarkan tidak mempunyai produk fizikal. Kedua, yuran penyertaan biasanya tinggi dan tiada kontrak bertulis antara syarikat dan pengedar.

Via Pusat Ekonomi Digital

Skim cepat kaya juga dikatakan lebih ‘menekan’ ahli-ahlinya untuk mencari downline berbanding membantu penjualan runcit produk-produk mereka. Skim cepat kaya juga biasanya menjanjikan pulangan yang terlalu besar atau dalam tempoh yang terlalu cepat.

Ejen pengedar juga kerap ‘dikunci’ posisinya dan ganjarannya agar tidak melepasi penaja/upline mereka meskipun para ejen sudahpun berusaha keras untuk mencapai sasaran jualan ataupun berjaya membina rangkaian pelanggan yang besar.

Usia syarikat MLM juga boleh dipertimbangkan semasa sesi perkenalan bersama sesebuah syarikat MLM. Menurut penulis Revolusi MLM ini, jangka masa sesebuah syarikat itu beroperasi adalah tanda paling realistik untuk melihat ketahanan sesebuah syarikat.

Lebih lama syarikat tersebut bertahan, lebih tinggi peluang anda untuk berjaya dalam sistem mereka. Kelengkapan latihan yang mantap, kit jualan pengedar yang memberangsangkan dan sistem pengurusan yang efektif juga menyumbang kepada kebolehpercayaan sesebuah syarikat.

BACA  Pelaburan Hartanah tidak semestinya kena ada Rumah atau Tanah: Ini ilmu yang korang patut tahu
Antara syarikat MLM yang popular.. -Via Loanstreet

Jika hanya baru 1-5 tahun, syarikat tersebut masih boleh dianggap baharu lagi dan boleh bankrap kerana pengurusan yang tidak cekap. Ramai mangsa terperangkap dalam fasa syarikat yang masih baharu ini.

Manakala untuk 6-10 tahun bertahan, salah satu tanda syarikat berisiko adalah tentang aliran tunai dan kemungkinan wujudnya usaha menambah cawangan pada tahap ini.

Selepas tahun ke-11, sesebuah syarikat dianggap ampuh kerana dapat bertahan dalam tempoh lebih sedekad. Biasanya, syarikat sebegini dapat bertahan kerana kekuatan produk dan pelan pemasarannya yang baik.

Modal terlalu besar, syarat yang menindas atas nama pelaburan adalah tanda buruk

Satu lagi tanda bahawa sesebuah syarikat tersebut kurang sesuai untuk disertai adalah sekiranya pihak syarikat meminta modal yang terlalu besar atas nama pelaburan. Lebih teruk, lazimnya pihak syarikat inilah beria-ia mahukan anda berhutang sesama ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan untuk memulakan perniagaan bersama mereka.

Alasan-alasan yang menggamit emosi seperti ‘niatkan untuk hantar ibu bapa pergi haji’, ‘belikan rumah untuk keluarga’ atau ‘untuk masa depan keluarga’ tentunya dapat memujuk hati ramai orang untuk turut serta dalam skim mereka tanpa meneliti sedalamnya tentang sistem pengurusan mereka.

Modal yang besar ini juga selalu disamakan sebagai suatu usaha pelaburan awal untuk membina perniagaan. Sebenarnya tanggapan itu tidak benar; sebaliknya minat adalah ‘modal’ pertama dan ilmu pula adalah ‘modal’ kedua sebelum wang yang ada.

Dalam sistem syarikat MLM yang sebenar, kebiasaannya modal awal yang dilaburkan lebih kecil berbanding keuntungannya yang berlipat ganda berkat gandaan rangkaian yang mereka miliki.

Via Asri Ahmad Academy

Sesetengah syarikat MLM memerlukan anda untuk membeli sejumlah produk mereka dengan nilai yang agak tinggi, dengan alasan untuk dijadikan stok. Ditambah lagi, kadangkala tiada jaminan produk tersebut boleh dikembalikan semula andainya tidak terjual dalam suatu tempoh masa.

BACA  Kalau bank pula yang bankrap, apa akan jadi pada duit kita?

Dari segi undang-undang, anda berhak untuk memulangkan semula produk demi mendapatkan semula modal anda daripada sesebuah syarikat. Ramai termakan dengan pujukan-pujukan ini, dan membeli produk dalam kadar pukal sehingga tidak terjual pula di bahagian ejen.

Akibatnya, stok berlambak. Jenis produk juga memainkan peranan dalam hal ini. Jika produk yang anda jual itu laku dan hangat di pasaran, maka pusingan stok anda akan habis dengan cepat. Wang pusingan juga boleh digunakan semula untuk membeli stok lain dan mendapatkan keuntungan.

Namun lain ceritanya pula kalau produk anda bukanlah produk yang cepat habis, ini akan mengikat anda untuk menggunakan semula wang yang dilaburkan ke dalam produk untuk aktiviti penjualan dan pemasaran pula. Dalam soal ini, kemahiran perniagaan dan keusahawanan amat penting untuk meneruskan perniagaan kecil anda.

Skim cepat kaya dan MLM sukar dibezakan, yang penting kena peka

MLM merupakan salah satu jenis perniagaan yang boleh diteroka untuk menjana pendapatan. Ia juga pilihan yang agak popular bagi sebahagian rakyat, lagi-lagi ia sendiri di bawah kawal selia badan-badan kerajaan.

Namun begitu, mekanisme MLM juga telahpun ditiru dan dimanipulasi oleh pelbagai jenis skim berbaur penipuan khususnya skim cepat kaya. Ramai telah tertipu dengan skim-skim sebegini, walaupun hakikatnya ia juga dilihat sebagai salah satu perniagaan berteraskan MLM.

Via khairulnizamtrustedinsurance.com

Lebih penting, ilmu yang boleh diperoleh dari perkongsian ini telah merungkai sejauh mana miripnya MLM dan skim penipuan di luar sana. Kepekaan anda, digandingkan dengan ilmu yang anda peroleh selepas membaca artikel ini dapat menyelamatkan anda dari belenggu masalah penipuan yang masih berleluasa sehingga kini.

Ingatlah bahawa pelaburan tidak semestinya perlu berakhir dengan perniagaan atau pegangan stok. Yang utama, anda perlu memahami sistemnya dahulu supaya tidak tertipu dengan janji-janji manis syarikat-syarikat MLM terutamanya yang baharu ditubuhkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *