Malaysia masih tumpuan untuk pelabur asing melabur

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan terunggul dan pangkalan para pelabur global untuk mengembangkan perniagaan.

Para pelabur terus menunjukkan keyakinan untuk melabur di Malaysia kerana kepimpinan kerajaan baharu memberi tumpuan untuk mengukuhkan pembangunan ekonomi negara dan mengekalkan reputasi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan yang stabil.

Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion (AS$41.7 bilion) pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek bagi tempoh Januari sehingga September 2022 dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini.

Pencapaian ini merupakan peningkatan 2.5 peratus berbanding RM188.9 bilion (AS$45.1 bilion) pelaburan yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyatakan, “Kejayaan Malaysia menarik hampir RM194 bilion pelaburan yang diluluskan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini adalah bukti kedudukannya sebagai destinasi pelaburan utama di Asia. Rantaian bekalan yang mantap, struktur kos yang kompetitif, proses operasi perniagaan yang dipermudahkan, inovasi dan keupayaan teknologi canggih, serta bakat tempatan yang terlatih menjadi pemangkin untuk memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

Memandang ke hadapan, MITI dan agensi-agensinya juga akan memastikan agar peluang pelaburan baharu akan membina kapasiti dan modal insan yang sesuai di dalam industri sasaran bagi membina ekonomi negara secara mampan”.

FDI kekal sebagai penyumbang utama sebanyak 67.5 peratus atau RM130.7 bilion (AS$28.1 bilion), sementara DDI menyumbang 32.5 peratus atau RM63 bilion (AS$13.6 bilion). Ini merupakan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding FDI yang diluluskan pada tempoh yang sama tahun 2021.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, Republik Rakyat China (RRC) mendominasi pelaburan asing sebanyak RM49.2 bilion (AS$10.6 bilion). Ini diikuti oleh Amerika Syarikat (RM16.9 bilion) (AS$3.6 bilion), Belanda (RM16.5 bilion) (RM3.6 bilion), Jerman (RM9.2 bilion) (AS$2 bilion) dan Singapura (RM8.7 bilion) (AS$1.9 bilion).

BACA  Malaysia raih pelaburan RM193.7 bilion sembilan bulan 2022

Lima negeri telah merekodkan pelaburan diluluskan yang signifikan termasuk Johor (RM63.9 bilion) (AS$13.8 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM26.1 bilion) (AS$5.6 bilion), Selangor (RM25.7 bilion) (AS$5.5 bilion), Sarawak (RM17.6 bilion) (AS$3.8 bilion) dan Kedah (RM12.1 bilion) (AS$2.6 bilion).

Dalam tempoh ini, sektor perkhidmatan memainkan peranan penting dalam memacu pemulihan ekonomi negara, merangkumi 58.5 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dengan nilai RM113.3 bilion (AS$24.4 bilion).

Prestasi cemerlang sektor perkhidmatan telah melangkaui jangkaan bagi Januari hingga September 2022, dengan peningkatan sebanyak 60.9 peratus berbanding pencapaian dalam tempoh yang sama pada tahun 2021. Ini diikuti dengan sektor perkilangan dengan RM64.9 bilion (AS$14 bilion) atau 33.5 peratus dan sektor utama pada RM15.5 bilion (AS$3.3 bilion) atau 8 peratus.

YBhg. Datuk Wira Arham Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA berkata, “Malaysia mempunyai jenama yang baik di persada antarabangsa dan merupakan sebuah negara yang diyakini para pelabur. Negara ini mempunyai asas yang kukuh dalam membuka peluang pelaburan dan perniagaan kepada para pelabur.

Dengan iklim pelaburan yang menarik, negara bersedia menjadi hab ekonomi besar yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan pelabur.

Malaysia menawarkan pelbagai ciri-ciri kompetitif untuk syarikat-syarikat tampil maju di pasaran antarabangsa melalui kedudukannya yang strategik di Selat Melaka, ekosistem industri yang komprehensif dikelilingi dengan kekayaan sumber asli serta populasi yang muda, berbakat dan berdaya saing.”

“Kerajaan sedang giat melaksanakan langkah-langkah yang agresif dalam menarik lebih banyak projek yang berkualiti tinggi, berimpak tinggi dan berintensifkan modal dalam sektor perkilangan serta perkhidmatan.

Projek-projek ini dijangka akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Kerajaan akan terus memberikan tumpuan dalam ekonomi digital, tenaga dan aktiviti perkilangan bernilai tinggi seperti teknologi pengangkutan termasuk kenderaan elektrik dan ekosistemnya yang bakal menyumbang kepada potensi ekonomi yang ketara dan pembangunan jangka panjang yang mampan.” tambah Datuk Wira Arham.

BACA  Kalau bank pula yang bankrap, apa akan jadi pada duit kita?

SUMBER

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *