Industri kenderaan elektrik, atau singkatannya electrical vehicle (EV) merupakan antara industri yang semakin berkembang pesat dalam Malaysia. Sebagaimana industri hijau yang lain, seharusnya industri EV perlu diterokai dan diberi perhatian khusus agar kita tidak ketinggalan dalam usaha membangunkan ekonomi negara. Sejak khabar kemasukan Tesla, masa depan EV semakin hangat dibincangkan.
Jom kita singkap dahulu sejauh mana industri EV telah berkembang di Malaysia!
Kenderaan elektrik bukan suatu yang baharu muncul, hadir merintangi arus
Kenderaan elektrik merupakan impian awal Wawasan 2020 di Malaysia. Di luar negara pula, penciptaan kenderaan elektrik bukanlah suatu perkara yang aneh lagi apabila saban tahun ramai ciptaan awal cuba mereka bentuk semula kenderaan elektrik yang lebih mesra pengguna. Hanya pada dekad 2000-an, idea kereta elektrik semakin mendapat tempat dalam hati pengguna.
Antara jenama yang cukup popular adalah Tesla, dikepalai oleh Elon Musk. Elon Musk merupakan seorang usahawan teknologi yang cukup geliga. Bukan setakat impian kereta elektrik itu cuba beliau realisasikan; bahkan penciptaan roket pun turut menjadi antara buah bicara tahun demi tahun.
Kembali ke Malaysia pula, idea kereta elektrik memang sudah wujud walaupun dalam jumlah yang sedikit. Salah satu faktor yang membantutkan perkembangan kenderaan elektrik di jalan raya adalah akses kepada teknologi pengecasan. Teknologi pengecasan ini dianggap menyusahkan dan dikhuatiri tidak sesuai untuk keadaan trafik di Malaysia.
Walau bagaimanapun, faktor-faktor ini tidak menghalang kemasukan lebih banyak pemaju kenderaan elektrik ke dalam Malaysia. Misalnya, kerjasama Geely bersama Proton kini membuka ruang untuk pembinaan lebih banyak model kenderaan EV. Industri EV dipacu dengan kehadiran Tesla di Cyberjaya.
Sejak itulah, idea kenderaan elektrik kini bukan lagi satu impian. Ia perlahan-lahan menjadi suatu kenyataan dan suatu hari nanti, dapat menambah alternatif baharu selain dari pilihan kenderaan petrol yang popular dan boleh dimiliki ramai seperti Perodua.
Kerajaan mula sokong industri EV, ini sebab kenapa masa depan EV makin cerah
Melihat kejayaan Tesla di Amerika Syarikat, Malaysia kini mempunyai lebih banyak sebab untuk mulai fokus terhadap pembangunan industri EV tempatan. Pelan strategik seperti pelan ekonomi hijau menjadi rangka asas ke arah pemantapan industri EV. Insentif seperti pemansuhan cukai import untuk EV dan pelaburan besar ke dalam usaha penyelidikan dan pembangunan teknologi EV diharap dapat merancakkan perkembangan industri tersebut.
Tidak cukup dengan itu, Malaysia juga berusaha untuk menarik pelabur-pelabur lain khususnya para pengeluar tempatan dan antarabangsa ke dalam industri EV tempatan. Selain itu, ekosistem EV juga turut diperkemaskan dengan peningkatan infrastruktur pengecasan.
Malaysia akan memastikan lebih banyak stesen pengecasan yang boleh diakses seluruh negara. Jika infrastruktur asas dalam kereta elektrik dapat diperbanyakkan, maka ini tentulah memberi keyakinan kepada pemilik EV ataupun mereka yang mahu beralih kepada EV pula.
Hal yang sama juga dilakukan dalam pertimbangan aspek keselamatan teknologi EV. Bagi meningkatkan keselamatan dalam EV, pelbagai usaha dan langkah telah diambil. Contohnya, fungsi Autopilot dalam model Tesla dilarang sama sekali.
Ini kerana dalam banyak kes yang terjadi di luar negara; fungsi tersebut tidak dapat mengesan kehadiran kereta kecemasan di hadapan. Akibatnya, banyak kemalangan dilaporkan susulan fungsi tersebut dihidupkan.
EV lebih jimat dari kenderaan petrol?
Mengikut kiraan dari dua laman sesawang popular Paultan dan Carput, jawapan ringkasnya adalah YA. Perbandingan dua pilihan kenderaan petrol dan elektrik mendapati bahawa anggaran 20-30% lebih jimat sekiranya pengguna kenderaan petrol mula beralih kepada kenderaan elektrik.
Mengikut kiraan terperinci yang disediakan oleh Paultan pula, kadar biasa RM2.05 bagi RON95 dibandingkan dengan RM1 untuk setiap kWh. Dimasukkan juga kadar sewa untuk mesin pengecas EV di rumah, ia tetap lebih jimat berbanding kenderaan petrol. Walaupun begitu, kadar penjimatan ini tidak terlalu besar disebabkan petrol kita sendiri juga masih dikawal subsidi.
Satu lagi kontra yang dibangkitkan dalam ruangan komen laman sesawang Paultan pula adalah kos penjagaan EV. Dari segi penggunaan harian dengan kadar minyak hari ini, ia memang lebih jimat. Akan tetapi, EV masih memerlukan bateri dan proses penukaran pek bateri kelak akan jauh lebih mahal berbanding kos penjagaan kereta berasaskan petrol. Bukan itu sahaja, kos-kos lain seperti penggantian alatan dan barangan kereta juga mungkin akan menelan kos tinggi berbanding kenderaan petrol.
Industri kenderaan elektrik di Malaysia adalah salah satu bidang yang mengalami pertumbuhan pesat. Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan pasaran EV, dan potensinya adalah sangat cerah. Dengan pelbagai insentif, pelaburan, dan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat, Malaysia sedang menuju ke arah menjadi pemain utama dalam dunia kenderaan elektrik.
Dari sisi lain, ia juga dapat memberikan alternatif lain berkenaan pilihan kenderaan peribadi yang lebih sesuai dengan kesihatan dan status kewangan seseorang individu.