Usaha Tangani Kenaikan Insurans Kesihatan? Ini 4 Langkah dari BNM

Insurans Kesihatan

Insurans kesihatan merupakan antara pelaburan penting dalam kehidupan seseorang. Dengan adanya insurans kesihatan, seseorang mampu menerima rawatan yang berkualiti di pusat kesihatan terpilih dengan lebih yakin.

Ia memainkan peranan penting dalam menyediakan perlindungan kewangan kepada pelanggan yang kurang berkemampuan. Hal ini demikian kerana kos perubatan boleh menjadi sangat mahal, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pembedahan yang memerlukan ramai tenaga pakar.

Sumber: Pinterest

Namun begitu, kos penjagaan kesihatan yang terus meningkat mengakibatkan syarikat insurans menaikkan premium mereka secara mendadak.

Kenaikan premium insurans kesihatan ini telah menjadi isu yang membimbangkan rakyat Malaysia terutamanya golongan rentan dan warga emas yang mengambil insurans kesihatan sebagai perlindungan.

Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai badan kawal selia kewangan negara, telah mengumumkan 4 langkah interim bagi menangani isu ini.

4 Langkah Interim BNM Tangani Isu Kenaikan Premium Insurans Kesihatan

Mengarahkan Penyelarasan Premium Secara Berperingkat atau Pengagihan (Spread Out)

Sumber: Pinterest

BNM menyatakan bahawa, semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans atau takaful perubatan dan kesihatan (MHIT), diminta melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan (spread out).

Sekurang-kurangnya, kenaikan tersebut perlu dilakukan selama tiga tahun iaitu berkuat kuasa sehingga akhir 2026, bagi mengurangkan beban pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.

Secara mudahnya, jika premium perlu dinaikkan sebanyak RM300, kenaikan ini boleh diagihkan kepada RM100 setiap tahun selama tiga tahun (2024, 2025, dan 2026) dan bukan dilakukan sekaligus.

Langkah ini bertujuan memastikan kenaikan premium dilakukan secara lebih terkawal, dan tidak membebankan rakyat. Ia selari dengan usaha kerajaan untuk menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat.

Namun, arahan ini juga bersifat interim (sementara), sehingga langkah jangka panjang dirangka BNM dan syarikat insurans bagi mengawal kos perubatan dan premium secara lebih berkesan.

BACA  BRICS: Apa kesan kemasukan Malaysia ke dalam gabungan ini?

Penangguhan Pelarasan Premium bagi Warga Emas

Insurans Kesihatan
Sumber: Pinterest

BNM turut mengetengahkan bahawa, pemegang polisi berumur 60 tahun ke atas yang memiliki pelan minimum, akan menikmati penangguhan pelarasan premium selama setahun dari ulang tahun polisi mereka.

Ini menunjukkan kecaknaan BNM terhadap kekangan kewangan yang dialami kebanyakan warga emas. Secara tidak langsung, tindakan ini telah memberikan peluang kepada mereka (warga emas) untuk menyusun semula perancangan kewangan dengan lebih baik.

Lebih-lebih lagi, kita sedia tahu bahawa warga emas inilah yang sering kali terdedah kepada risiko masalah kesihatan yang lebih tinggi berbanding golongan muda.

Oleh itu, inisiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka untuk memperpanjang tempoh perlindungan insurans kesihatan.

Pengaktifan Semula Polisi yang Luput

Sumber: Pinterest

BNM juga membolehkan pemegang polisi yang telah menyerahkan atau kehilangan perlindungan pada tahun 2024 akibat kenaikan premium, untuk mengaktifkan semula polisi tanpa perlu menjalani proses pengunderaitan tambahan.

Pengunderaitan (underwriting) tambahan merujuk kepada penilaian semula risiko oleh syarikat insurans atau takaful, apabila seseorang ingin memohon atau memulihkan polisi yang telah luput, dibatalkan, atau dihentikan.

Langkah ini memberi peluang kepada pemegang polisi yang kehilangan perlindungan akibat kenaikan premium untuk mendapatkan semula polisi mereka dengan mudah, tanpa bimbang tentang syarat kesihatan baharu atau kos tambahan.

Penyediaan Produk Alternatif pada Premium Lebih Rendah

Sumber: Pinterest

Terakhir, BNM telah mewajibkan pilihan produk alternatif, iaitu semua pengendali insurans/takaful (ITO) akan menawarkan produk MHIT alternatif dengan premium sama atau lebih rendah selewat-lewatnya pada akhir 2025.

Jika pemegang polisi tidak mampu membayar premium pelan yang mereka ada sekarang disebabkan kenaikan kos, mereka boleh memilih pelan alternatif ini.

Walaupun manfaat yang diterima mungkin akan sedikit berbeza, pelan ini tetap akan melindungi pemegang polisi daripada kos rawatan perubatan.

BACA  Guna MyKad sasar subsidi petrol? Ini apa yang perlu anda tahu

Secara mudahnya, langkah ini bertujuan memastikan pemegang polisi tidak perlu menyerahkan perlindungan mereka hanya kerana tidak mampu membayar premium yang meningkat.

Manfaatkan Inisiatif BNM dan Kerajaan Disamping Menjadi Pengguna yang Bijak

Sumber Pinterest

Melalui kawalan ketat terhadap kenaikan premium, promosi insurans mikro, digitalisasi, dan kerjasama KKM, pengguna kini ada lebih banyak pilihan dalam mendapatkan perlindungan terbaik.

Inisiatif ini tidak lain dan tidak bukan, bertujuan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terjamin terutamanya daripada segi penjagaan kesihatan mereka.

Berdasarkan langkah interim ini, pihak BNM dan kerajaan pastinya mengharapkan pemegang polisi insurans kesihatan dapat meneruskan pembayaran tanpa menanggung beban kenaikan kos premium yang mendadak.

Sumber: Pinterest

Sebagai pengguna juga, penting untuk kita memahami polisi insurans dan mengambil tahu hak anda jika berlaku kenaikan premium yang tidak munasabah.

Teknologi digital yang ditawarkan syarikat insurans juga perlu dimanfaatkan agar dapat memilih produk insurans yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan kita.

Dengan menjadi pengguna yang bijak, kita dapat memastikan perlindungan kesihatan kekal terjamin tanpa menjejaskan kewangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *