Berikutan hasrat pihak kerajaan untuk melaksanakan penyasaran semula subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun hadapan, sedikit sebanyak telah menimbulkan persoalan kepada pelbagai lapisan masyarakat di negara ini.
Adakah kerajaan sudah benar-benar membuat perancangan yang teliti berkenaan pelaksanaan ini? Lebih-lebih lagi inisiatif ini turut disertakan dengan mekanisme yang sedikit berbeza iaitu penggunaan kad pengenalan atau MyKad sebagai pengesahan kelayakan penerimaan subsidi.
Meskipun penyasaran subsidi sebegini sememangnya membantu kerajaan dalam mengurangkan ketirisan menurut beberapa pakar ekonomi, namun mengapa dan dari mana datangnya idea mekanisme penggunaan MyKad ini boleh tercetus?
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican, berkata pendekatan menaikkan harga RON95 mengikut harga pasaran dan memberi bantuan tunai kepada yang layak, seperti dilaksanakan pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, terbukti kurang berkesan.
Pemberian tunai lebih RM600 terlihat tidak adil apabila setiap individu mempunyai jarak yang berbeza dari lokasi kerja dan lebih teruk lagi, apabila wang tersebut tidak digunakan untuk membeli petrol sama sekali.
Akibatnya, kos petrol yang meningkat tersebut akan tetap terasa walaupun telah diberikan bantuan wang tunai kepada golongan rentan.
Walau bagaimanapun, beliau mengakui tiada kaedah yang benar-benar sempurna dalam penyasaran subsidi RON95 kerana sebarang langkah bakal berdepan cabaran seperti risiko operasi, penipuan, dan kos tambahan. Katanya lagi:
“Namun, kerajaan komited untuk memastikan pendekatan yang diambil kelak dapat memenuhi matlamat menyeimbangkan keperluan rakyat dengan pengurusan subsidi yang berkesan.”
Langkah ini diharapkan dapat memastikan subsidi hanya diberikan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, sekaligus mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan sumber.
Mekanisme Pelaksanaan
Walaupun kaedah ini telah diwarwarkan akan dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan (2025), namun masih belum diterangkan kaedah penggunaannya secara terperinci dari pihak kerajaan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sehingga kini kerajaan sudah melaksanakan projek perintis bagi penyasaran subsidi RON95 menggunakan Mykad dan e-dompet.
Perlu Tunjuk IC untuk Melayakkan Penerimaan Subsidi Petrol RON95
Menerusi video yang dimuat naik di laman X (@jasonyew), Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyampaikan ucapan penggulungan untuk Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat (6 November).
Berdasarkan ucapan, tumpuan diberikan kepada subsidi petrol RON95 yang hanya akan diberikan kepada mereka yang layak dengan cara mengimbas kad pengenalan. Katanya:
“Seseorang pembeli perlu mengimbas MyKad di stesen minyak. Identitinya itu akan disemak dengan pangkalan data (PADU) untuk mengesahkan kelayakan. Mereka yang layak akan menerima harga bersubsidi untuk petrol RON95.”
Ringkasan yang Boleh Dilakukan Rakyat untuk Mendapatkan Subsidi
Pendaftaran dan Pengesahan Kelayakan Melalui PADU
Mekanisme ini berasaskan data yang diakses melalui Pangkalan Data Utama (PADU) yang mengandungi maklumat pendapatan individu dan isi rumah.
Data ini akan diintegrasikan kepada MyKad, dan menjadi medium utama untuk mengakses subsidi di stesen minyak.
Penggunaan MyKad di Pam Minyak
Proses di stesen minyak adalah seperti berikut:
- Pengguna boleh mengimbas MyKad sebelum mengisi petrol.
- Sistem akan memeriksa kelayakan subsidi berdasarkan data PADU.
- Sekiranya layak, pengguna boleh membayar mengikut harga subsidi.
- Sebaliknya, jika tidak layak, pengguna akan dikenakan harga pasaran penuh.
Cabaran kepada Kerajaan dan Orang Awam Terhadap Transformasi Subsidi Petrol
Isu Teknologi dan Infrastruktur yang Belum Menyeluruh
Keberhasilan kaedah baharu ini sangat menekankan kebergantungan kepada capaian internet yang stabil dan ia menjadi antara cabaran utama, apatah lagi bagi kawasan luar bandar.
Penggunaan Mykad juga berkemungkinan akan melibatkan proses transaksi atas talian seperti e-dompet dan ‘Touch n Go’ yang memerlukan capaian internet yang cukup stabil.
Oleh itu, sebarang kelewatan atau kegagalan pengesahan data boleh menyebabkan kesesakan di stesen minyak dan pelbagai kemungkinan buruk lain.
Golongan Rentan dan Warga Emas Kurang Menguasai Teknologi
Golongan rentan dan warga emas juga berisiko menghadapi kesukaran dengan kaedah baharu ini kerana kebanyakan mereka masih kurang mahir menggunakan teknologi, apatah lagi apabila melibatkan sistem yang baharu .
Sebahagian pihak turut mencadangkan integrasi sistem dengan aplikasi seperti Setel untuk kemudahan pengguna kerana kewujudan aplikasi ini sudah didedahkan dengan data pengguna melalui IC dan tidak memerlukan pengguna beratur panjang.
Berbeza dengan aplikasi dan sistem lain yang kurang diketahui dan jarang digunakan seperti PADU yang masih diragukan keberhasilannya. Apatah lagi apabila kerajaan berhasrat membangunkan sebarang sistem baharu yang akan semakin mengelirukan rakyat.
Keraguan Rakyat Terhadap Keberkesanan dan Ketepatan Data Pada Sistem
Kos membangunkan dan menyelenggarakan sistem PADU, yang dianggarkan bernilai puluhan juta ringgit supaya dapat diselarikan data dengan transformasi subsidi ini juga menjadi persoalan.
Hal ini demikian kerana, keberkesanan dan ketepatan data pada sistem berdasarkan pelaburan besar yang telah dibuat masih belum terbukti walaupun sistem tersebut telah dilancarkan sejak sekian lama.
Keraguan ini dibimbangi akan menimbulkan sikap tidak ambil peduli atau mengurangkan sokongan rakyat kepada kaedah baharu ini.
Sikap sebegini bukan sahaja akan membebankan rakyat pada masa hadapan, bahkan bakal menyusahkan kerajaan untuk bertindak ke atas golongan sebegini.
Kritikan Terhadap Mekanisme Baharu (MyKad)
Terdapat beberapa kritikan yang berpendapat bahawa penggunaan MyKad yang tidak mengambil kira jenis kenderaan ini terlihat tidak adil dan kurang telus.
Hal ini demikian kerana golongan rentan boleh sahaja menggunakan atau menyewa kenderaan syarikat yang tidak tersenarai sebagai penerima subsidi, namun minyak tetap perlu diisi sebelum dipulangkan semula.
Sebagai contoh, majikan boleh sahaja mengarahkan pekerjanya untuk mengisi minyak kenderaan mereka dahulu menggunakan MyKad pekerjanya, sebelum membayarnya semula dengan jumlah berkenaan.
Adakah majikan akan membenarkan kad pengenalannya dibawa ke mana-mana oleh pekerja mereka semata-mata untuk mengisi minyak? Sudah tentu tidak.
Akibatnya, pekerja yang mengisi minyak untuk kenderaan majikannya yang berpendapatan tinggi telah membolehkan majikan mereka menikmati subsidi yang tidak selayaknya.
Penyasaran Subsidi Memberi Fokus kepada Ketelusan Pengurusan Kewangan dan Kesejahteraan Rakyat
Transformasi subsidi petrol menggunakan MyKad merupakan langkah progresif ke arah pengurusan kewangan kerajaan yang lebih cekap dan adil.
Namun, kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang teliti, pendidikan awam yang mencukupi, dan keupayaan kerajaan dalam menangani cabaran teknikal.
Langkah ini juga mencerminkan usaha kerajaan untuk menyesuaikan keadaan mengikut keperluan era moden. Pada masa yang sama, menekankan kebajikan golongan rentan yang paling terkesan dengan kos sara hidup.
Melalui perancangan dan pelaksanaan yang baik, pendekatan ini mampu menjadi model reformasi subsidi yang berkesan pada masa hadapan.