Kita sedia tahu bahawa peningkatan kos sara hidup merupakan isu yang sering menghantui rakyat Malaysia. Kejadian sebegini jelas memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana (M40 & B40).
Bahkan mana-mana kerajaan yang memerintah sekalipun, pasti tidak pernah terlepas daripada isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup ini.
Peningkatan kos bukan sahaja dirasai dalam perbelanjaan harian, bahkan dalam aspek kos perumahan, pendidikan, dan perkhidmatan kesihatan.
Kenaikan Kos Sara Hidup Bukan Disebabkan Satu atau Dua Faktor Sahaja
Peningkatan Harga Barang dan Perkhidmatan
Salah satu punca peningkatan kos sara hidup ialah kenaikan harga barangan asas dan perkhidmatan. Sebagai contoh, harga makanan dan minuman di Malaysia yang menunjukkan peningkatan akibat kenaikan harga bahan mentah global seperti gandum dan minyak masak.
Menurut The Star, jangkaan inflasi Bank Negara Malaysia tahun 2024 adalah antara 3% sehingga 3.5% berikutan pemansuhan subsidi diesel. Kos purata harga bahan api juga dijangka meningkat dari RM2.53 kepada RM2.73 per liter.
Sektor pengangkutan yang menyumbang kira-kira 11.3% dalam indeks harga pengguna (CPI) turut dijangka mengalami kenaikan kos memandangkan diesel penting bagi operasi logistik dan perkhidmatan awam di Malaysia.
Pengaruh Faktor Global
Peristiwa seperti pandemik COVID-19, konflik geopolitik di Timur Tengah dan Eropah, serta perubahan iklim menyumbang kepada rantaian bekalan global terganggu.
Laporan terkini dari Bank Dunia juga menyatakan kesan pandemik yang berlanjutan terhadap golongan rentan, terutamanya dalam menghadapi kenaikan kos barangan asas.
Ini menyebabkan kenaikan harga bahan mentah seperti petroleum yang kemudiannya mempengaruhi harga barangan akhir yang sampai kepada penggunanya.
Kos Perumahan yang Tinggi
Harga rumah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, dan Pulau Pinang semakin meningkat antara 5% hingga 10% dalam beberapa bulan akan datang dan melebihi kemampuan rakyat marhaen.
Hal ini mengakibatkan pelbagai golongan, terutamanya generasi muda, sukar untuk memiliki rumah dan terpaksa menyewa dalam jangka masa panjang.
Kos sewa yang sering meningkat menjadikan perbelanjaan perumahan sebagai komponen utama dalam perbelanjaan bulanan rakyat Malaysia.
Cukai dan Kos Perkhidmatan
Beberapa cukai yang dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan juga memberi kesan terhadap kos sara hidup.
Sebagai contoh, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada tahun 2015 dan kemudian digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 2018.
Walaupun SST dikatakan tidak seberat GST, namun bagi sebilangan rakyat, beban cukai ini tetap terasa, terutamanya pembelian barangan keperluan harian.
5 Tips yang Boleh Dilakukan Berhadapan Krisis Ini?
Sediakan Belanjawan Bulanan
Apabila barang semakin mahal, penting untuk kita menyusun semula perbelanjaan bulanan dan menyesuaikannya dengan harga semasa.
Penggunaan aplikasi seperti Belanjawanku atau Spendee sangat bermanfaat untuk memantau pendapatan dan perbelanjaan anda.
Pendapatan juga boleh dibahagikan mengikut keperluan asas, kehendak, simpanan, dan hutang. Sebagai contoh, jika pendapatan bulanan anda sebanyak RM3,000, letakkan 50% untuk keperluan asas, 20% untuk simpanan, dan 30% untuk perbelanjaan lain.
Selain itu, anda juga boleh menggunakan kaedah tradisional seperti membuat catatan di buku atau nota di telefon pintar masing-masing, yang memudahkan anda untuk membuat rujukan semula.
Seorang pakar kewangan peribadi yang terkenal di Malaysia, En. Azizi Ali menyarankan belanjawan sebagai asas pengurusan kewangan:
“Tanpa belanjawan, anda tidak tahu ke mana wang anda pergi.”
Melalui cara ini, kita dapat mengelakkan kebocoran wang dan membina disiplin kewangan.
Bezakan Keperluan dan Kehendak
Menuju ke alam dewasa, kita harusnya sudah bijak mengenalpasti antara kehendak dan keperluan ketika berbelanja.
Sebagai contoh, pertimbangan untuk membeli telefon pintar asas berbanding model mewah jika hanya digunakan untuk komunikasi harian.
Atau mungkin mengutamakan fungsi utama kenderaan iaitu bergerak dari titik A ke titik B, tanpa perlu mengutamakan kenderaan mewah yang jauh dari kemampuan.
Selain itu, fokus boleh diberikan kepada makanan sihat yang dimasak sendiri dan berpatutan daripada makan di luar.
Tokoh terkemuka dalam bidang kewangan Islam, akademik, dan perbankan, Dr. Mohd Daud Bakar ada menekankan pentingnya mendahulukan keperluan:
“Kehidupan sederhana adalah kunci kestabilan kewangan, terutama di tengah-tengah tekanan ekonomi.”
Bina Tabung Kecemasan
Menurut Bank Negara Malaysia, sekitar 75% rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.
Ini mencerminkan kesukaran ramai rakyat malaysia dalam menguruskan kewangan mereka, dengan gaji yang sering kali hanya cukup untuk menampung kos seharian.
Sedangkan simpanan perlu dilakukan sekurang-kurangnya 10% pendapatan bulanan anda sehingga mencapai 6 bulan gaji untuk kecemasan seperti kehilangan kerja atau kos perubatan mendadak.
Kita tidak akan tahu apa kemungkinan buruk yang akan menimpa kita sekiranya kita tidak membuat sebarang simpanan kerana “malang tidak berbau”.
Setidaknya, simpanan kecemasan ini dapat meringankan beban, secara tidak langsung memberikan kita dan ahli keluarga tempoh bertenang untuk merancang langkah seterusnya
En. Azizi Ali sekali lagi, menggalakkan pembinaan dana kecemasan sebagai pelindung kewangan:
“Tabung kecemasan memberi anda ketenangan kerana anda bersedia menghadapi sebarang cabaran.”
Menurut MyREF, hanya 24% rakyat Malaysia yang mampu bertahan 3 bulan tanpa pendapatan. Ini membuktikan bahawa dana kecemasan ini sangat penting dan harus dipersiapkan segera oleh setiap keluarga sebagai persediaan.
Tambah Pendapatan Kedua
Sangat dirugikan jika teknologi yang berkembang pantas ini tidak dimanfaatkan untuk dijadikan sumber pencarian seperti berniaga, membuat kandungan, mempromosi produk dan sebagainya.
Kita boleh cuba mencabar diri dengan bekerja sambilan seperti pemandu e-hailing, menjual barangan di Shopee, TikTok atau freelancing di platform seperti Fiverr.
Mungkin tidak semua orang minat atau berani untuk berniaga untuk menambah pendapatan. Namun, sekiranya keadaan itu memaksa, maka cara terbaik ialah keluar dari zon selesa dan minat dalam berniaga akan datang kemudian.
En. Azizi Ali juga turut menyarankan setiap individu untuk memiliki sumber pendapatan tambahan sebagai pelan sandaran:
“Pendapatan kedua dapat mempercepatkan perjalanan anda ke arah kebebasan kewangan.”
Tingkatkan Literasi Kewangan
Mungkin sebelum ini kita hanya berbelanja semahunya kerana gaji sentiasa masuk setiap bulan. Namun tanpa kita sedari, kadar kenaikan barang sememangnya lebih pantas berbanding kenaikan gaji.
Jika kita terus-menerus melakukan kebiasaan seperti boros berbelanja, tiada simpanan dan tiada catatan kewangan, kita berkemungkinan akan terjunam dalam krisis kewangan kedepannya.
Daripada kita membazirkan masa dan wang kita pada perkara yang tidak perlu, lebih baik kita membeli buku-buku asas kewangan atau sertai seminar kewangan percuma di InvestSmart oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. untuk menambah baik pengetahuan.
Zeti Akhtar Aziz, bekas Gabenor Bank Negara, menekankan:
“Literasi kewangan adalah pelaburan terbaik untuk masa depan anda.”
Dengan pengetahuan yang mencukupi, anda mampu membuat keputusan yang lebih bijak
Bersedia dengan Sebarang Kemungkinan Buruk
Secara keseluruhannya, mungkin kita tiada autoriti untuk menggubal dasar kerajaan yang memberikan kepentingan secara langsung kepada ekonomi rakyat, namun kita boleh meminimumkan risiko tersebut dengan mengamalkan tips-tips tersebut.
Sudah pasti banyak lagi panduan lain yang mungkin lebih sesuai dan boleh diguna pakai untuk memandu kita dalam menguruskan kewangan ketika mana krisis kenaikan kos sara hidup ini melanda.
Memandangkan isu ini boleh dikatakan terjadi pada setiap penggal pemerintahan setiap kerajaan, rakyat seharusnya sentiasa bersedia dan mampu beradaptasi dengan sebarang kemungkinan buruk demi kelangsungan hidup.
Pada akhirnya, rakyat perlu lebih matang dengan tidak terus menyalahkan kerajaan, sebaliknya fokus kepada apa yang mampu dipersiapkan pada masa hadapan.