Faraid berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud “ketetapan”. Dalam Islam, ia merujuk kepada hukum penting yang ditetapkan Allah dalam pembahagian harta pusaka.
Ia telah dinyatakan jelas dalam al-Quran melalui Surah an-Nisa’ ayat 11, 12, dan 176. Faraid berperanan menentukan pewaris, bahagian, dan pengagihan harta. Namun begitu, ia masih kurang dikuasai kebanyakan muslim di Malaysia.

Tindakan kebanyakan orang yang menyerahkan pengurusan harta pusaka kepada pihak berkuasa agama bukanlah suatu kesalahan, namun sikap lepas tangan sepenuhnya tidak wajar dinormalisasikan.
Akibatnya ramai keluarga muslim yang kian mengetepikan penguasaan asas dalam bidang ini sehingga ada yang membuat pembahagian harta secara ‘semberono’. Ini bukan sahaja mengundang kemurkaan Allah, bahkan boleh memicu pergaduhan keluarga.

Walaupun ia tidak wajib bagi orang awam untuk menghafal atau menguasai pengiraan faraid secara terperinci (sangat teknikal), namun kita tetap perlu memahami konsepnya.
Selebihnya, ia boleh dirujuk kepada pakar. Nilai terpenting adalah keinginan untuk memastikan harta pusaka tersebut dapat dibahagikan mengikut syariat Allah dengan penuh amanah dan keadilan.
Konsep Asas Faraid
Benar bahawa elemen ilmu faraid itu sangat luas dan tidak praktikal untuk dikuasai kesemuanya secara mendalam oleh orang kebanyakan.
Namun, masih terdapat konsep asas faraid yang perlu difahami seperti jenis waris, bahagian waris, tertib waris, hutang dan wasiat.
Jenis Waris

Waris dalam faraid terbahagi kepada dua jenis utama iaitu Waris Nasab (Hubungan Darah) dan Waris Sabab (Hubungan Perkahwinan).
Contoh Waris Nasab (Hubungan Darah) ialah ibu bapa si mati, anak-anak, adik-beradik (sama ada kandung, sebapa, atau seibu), datuk, nenek dan cucu (jika anak si mati sudah tiada, cucu boleh menjadi waris).
Waris Sabab (Hubungan Perkahwinan) pula merujuk kepada waris yang mempunyai hubungan perkahwinan yang sah dengan si mati seperti suami yang akan terima bahagian jika isterinya meninggal dunia begitu juga isteri.
Namun begitu, penting untuk mengetahui bahawa anak luar nikah tidak dianggap sebagai waris nasab menurut hukum syarak, dan mereka tidak berhak ke atas pusaka si mati.
Bahagian Waris

Bahagian setiap waris telah ditetapkan dalam al-Quran dan Hadis. Contoh bahagian yang tetap (Zawil Furudh) ialah ibu iaitu 1/6 jika si mati mempunyai anak atau 1/3 jika si mati tiada anak atau adik-beradik.
Begitu juga bapa iaitu 1/6 jika si mati mempunyai anak atau menerima baki harta (ashabah) jika si mati tiada anak. Suami pula dibahagikan kepada 1/4 jika si mati mempunyai anak atau 1/2 jika tiada anak.
Isteri akan menerima 1/8 jika si mati mempunyai anak atau 1/4 jika si mati tiada anak. Anak lelaki pula menerima dua kali ganda bahagian anak perempuan berdasarkan firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 11.
Namun, jika terdapat baki harta selepas pengagihan, waris lelaki seperti anak lelaki atau bapa akan menerimanya.
Tertib Waris

Ia merujuk kepada susunan keutamaan waris dalam menerima harta. Jika waris yang lebih utama masih hidup, waris lain mungkin tidak mendapat bahagian (hajb/sekatan).
Sebagai contoh, jika anak lelaki si mati masih hidup, adik-beradik si mati tidak akan mendapat bahagian pusaka. Begitu juga apabila bapa si mati masih hidup, datuk tidak akan menerima bahagiannya.
Kebiasaannya, waris utama terdiri daripada anak lelaki, anak perempuan, ibu, dan bapa, manakala waris sokongan seperti saudara lelaki atau cucu hanya menerima bahagian jika tiada waris utama.
Hutang dan Wasiat

Sebelum pembahagian harta pusaka dibuat, terdapat dua perkara penting yang perlu diselesaikan terlebih dahulu iaitu hutang dan wasiat si mati.
Jelas bahawa hutang si mati wajib dilangsaikan terlebih dahulu kerana Islam menekankan kepentingan melunaskan hutang.
Selain hutang dengan individu, anda juga boleh menyemak pinjaman bank, zakat atau kaffarah yang belum dibayar si mati. Wasiat pula tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta pusaka.
Penting untuk dimaklumi bahawa ia hanya boleh diberikan kepada pihak bukan waris kerana bahagian waris sudah difaraidkan. Sebagai contoh, ia didermakan kearah kebajikan atau diberi sebahagian harta kepada rakan baik.
Pihak yang Boleh Dijadikan Rujukan Terkait Masalah Faraid

Mungkin ada di antara kita yang masih sukar untuk menghadam maklumat-maklumat asas hukum faraid seperti yang telah dinyatakan.
Bahkan maklumat tadi hanyalah asas sahaja dan tetap memerlukan panduan pakar untuk keseluruhan proses faraid berlangsung.
Namun jangan bimbang, kerana masih ada pihak yang diberikan autoriti untuk membantu orang awam seperti kita dalam memahami dan mempermudah urusan menguruskan harta pusaka.
Mahkamah Syariah
Sebagai pihak yang berkuasa dalam undang-undang Islam, Mahkamah Syariah merupakan antara saluran utama dalam menyelesaikan sebarang pertikaian berkaitan faraid dan pembahagian harta pusaka menurut hukum Islam.
Majlis Agama Islam dan Pejabat Agama Islam bagi Negeri Masing-masing

Majlis Agama Islam dan Pejabat Agama Islam di setiap negeri juga seharusnya boleh menyalurkan nasihat penting dan panduan berkaitan faraid kepada orang awam.
Hal ini demikian kerana mereka dilihat sebagai institusi yang lebih mahir dan arif dalam pengurusan mahupun pentadbiran harta pusaka Islam.
Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM)
JKSM merupakan badan yang menyelaras urusan kehakiman syariah di seluruh negara. Oleh itu, ia sangat sesuai dan berautoriti memberikan panduan serta nasihat undang-undang berkaitan pembahagian harta mengikut undang-undang Islam.
Peguam Syariah

Peguam syariah yang berkelayakan (buat semakan teliti sebelum dirujuk) dalam bidang undang-undang Islam juga boleh memberikan nasihat
Jika diperlukan, mereka juga boleh mewakili individu dalam proses pembahagian harta pusaka mengikut hukum faraid.
Cabaran dalam Mengamalkan Faraid
Kekurangan Pengetahuan

Ramai di antara kita terutamanya golongan wanita yang menganggap bahawa faraid ini kadangkala merugikan dan menguntungkan pihak tertentu sahaja.
Sedangkan tanggapan tersebut hanya timbul apabila seseorang belum memahami asas faraid dengan baik dan mulai menjustifikasikannya sendiri. Hakikatnya faraid itu lengkap dan adil berdasarkan hukum tuhan yang sesungguhnya.
Akibat ketidakfahaman tersebut, maka timbul lah golongan yang menolak faraid dengan berbagai alasan seperti leceh, menyusahkan dan sebagainya.
Harta Tidak Didokumentasikan

Setelah menguasai asas dalam hukum faraid, terdapat kemungkinan untuk berlaku halangan seperti tiada catatan atau rekod jelas harta yang dimiliki si mati.
Ini berkemungkinan berlaku disebabkan kematian tidak dijangka atau kurangnya kesedaran. Ini menyebabkan kesukaran ketika pembahagian dilakukan.
Keengganan Mengikuti Hukum

Memandangkan pembahagian harta pusaka ini akan melibatkan banyak pihak, maka persetujuannya juga memerlukan keputusan majoriti.
Akan menjadi masalah jika ada pihak yang enggan mematuhi faraid kerana ingin mengutamakan keuntungan peribadi atau hendak mengekalkan budaya tertentu seperti beberapa adat suku kaum mengutamakan hak jantina tertentu.
Jika Tidak Mampu Kuasai Semua, Maka Jangan Tinggalkan Kesemuanya

Ilmu faraid bukan sekadar teori tetapi ia sangat praktikal. Hukum ini juga sangat penting kerana ia melibatkan hak dan tanggungjawab sesama manusia.
Dengan menguasai asas faraid, kita dapat mengelakkan kekeliruan dan memastikan pembahagian harta pusaka dilakukan dengan adil dan saksama.
Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk mendalami ilmu ini agar keharmonian keluarga dan masyarakat dapat terus terpelihara.
Pada masa yang sama, kita dapat menjalankan tanggungjawab sebagai muslim iaitu dengan menunaikan hak orang lain dan menegakkan hukum Allah SWT.