Anda Mangsa Banjir? Ini 5 Bantuan yang Boleh Anda Dapat

Banjir

Situasi banjir di Pantai Timur Malaysia kini agak serius, terutamanya di Kelantan dan Terengganu. Setakat ini, lebih daripada 24,000 mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Di Kelantan, daerah yang paling terjejas adalah Pasir Mas, dengan paras air Sungai Golok mencecah tahap tertinggi sejak banjir besar pada tahun 2014. Sementara itu, Hulu Terengganu merupakan kawasan paling terjejas di Terengganu dan jumlah mangsa banjir juga terus meningkat​.

Tidak dilupakan juga negeri-negeri yang turut terjejas seperti di Johor, Pahang dan Kedah menunjukkan bahawa fenomena banjir kali ini berlaku dalam skala yang besar.

Banjir
Sumber: Kosmo!

Hujan lebat yang berterusan dijangka akan mulai reda pada minggu hadapan, dan ini sedikit sebanyak memberi harapan bahawa keadaan akan mula pulih sedikit demi sedikit.

Namun begitu, mangsa banjir tetap perlu berhati-hati demi keselamatan penduduk​. Hal ini demikian kerana keadaan masih sangat berisiko, dengan beberapa kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Bagi meringankan beban mereka yang terkesan, beberapa inisiatif dari kerajaan dan pihak swasta telah dilancarkan. Mari kita selidik dengan lebih lanjut.

5 Bantuan Terkini yang Boleh Dimohon atau Mangsa Banjir Perlu Tahu

Bantuan Banjir dari Bank-bank di Malaysia

Banjir
Sumber: Agrobank

Perusahaan bank-bank di Malaysia seperti Agrobank, Bank Rakyat, Public Bank, RHB, AmBank, SME Bank, Hong Leong Bank, Bank Muamalat dan CIMB Bank, ada menyediakan beberapa bentuk bantuan khas untuk pelanggan yang terjejas akibat banjir.

Kebanyakan bank menawarkan penangguhan bayaran ansuran bulanan sehingga 6 bulan. Pelanggan yang layak boleh memanfaatkan bantuan ini untuk mengurangkan beban kewangan mereka.

Mereka juga boleh memohon untuk menstrukturkan atau menjadualkan semula pembiayaan yang telah dilanggan bagi memastikan pembayaran yang lebih fleksibel, sesuai dengan keadaan kewangan semasa.

Menariknya, terdapat juga bank seperti Agrobank dan Public Bank yang menawarkan penggantian percuma untuk dokumen yang hilang atau rosak akibat banjir. 

Tidak ketinggalan, RHB Bank dan SME Bank turut menawarkan bantuan yang tinggi. Sebagai contoh, kemudahan pembiayaan sehingga RM700,000 untuk PKS dan RM150,000 untuk perusahaan mikro, dengan kadar pembiayaan yang kompetitif 3.5 peratus setahun (termasuk yuran jaminan) dan tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.

BACA  Cabaran Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS): Bagaimana untuk meminimakan risiko perniagaan?

Bagi mereka yang terkesan, permohonan boleh dilakukan dengan melawat mana-mana cawangan bank tesebut atau menghubungi pusat bank melalui panggilan.

Bantuan Wang Ihsan (BWI)

Bantuan Wang Ihsan (BWI) adalah bantuan tunai yang disalurkan kerajaan kepada mangsa bencana seperti banjir, sebagai sokongan kewangan segera untuk meringankan beban mangsa banjir.

Bantuan yang bernilai RM1,000 untuk setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas ini, biasanya diberikan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau pihak berkuasa tempatan.

Namun begitu, sekiranya melibatkan sebarang kematian akibat banjir, bantuan tambahan sebanyak RM10,000 juga akan diberikan kepada waris.

Melalui bantuan ini, kerajaan berharap dapat membantu mangsa bencana untuk menangani keperluan asas seperti makanan, pakaian, atau perbelanjaan lain yang mendesak.

Jika permohonan ingin dilakukan, mangsa perlu melaporkan kerosakan dan keperluan mereka kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) melalui Pejabat Daerah atau Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Banjir
Borang Akuan Permohonan BWI, sumber: Agensi Pengurusan Bencana Negara

Pemohon juga dikehendaki menyediakan dokumen seperti salinan kad pengenalan, bukti kerosakan seperti gambar atau pengesahan pihak berkuasa tempatan dan borang permohonan BWI yang lengkap.

Untuk makluman juga, pembayaran akan disalurkan secara terus ke akaun penerima melalui NADMA atau agensi yang terlibat.

Ketua isi rumah yang rumahnya terjejas secara langsung akibat banjir atau kawasan kediaman yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana layak memohon bantuan ini.

Untuk maklumat terkini atau panduan lanjut, mangsa boleh merujuk portal NADMA atau menghubungi talian bantuan di kawasan masing-masing. Maklumat juga boleh diperoleh melalui laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bantuan Banjir daripada Kerajaan Negeri

Majlis Simbolik Penyerahan Kotak Sumbangan Bencana Negeri Johor untuk tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bagi Tahun 2024/2025. | Foto MDJ Nurina Aisyah

Pihak kerajaan negeri juga tidak terlepas dalam menyalurkan bantuan seperti barangan keperluan harian dan bantuan kewangan kepada mangsa banjir di negeri masing-masing.

BACA  Tiga produk RAHMAH yang korang kena tahu

Sebagai contoh, Negeri Johor yang prihatin bertindak menyediakan bantuan Kotak Sumbangan Bencana Negeri Johor bagi kegunaan mangsa yang terjejas.

Sebanyak 1,600 Kotak Sumbangan Bencana Negeri Johor telah diagihkan secara berfasa ke daerah Muar, Mersing dan Kluang.

Bantuan itu juga akan diedarkan ke beberapa daerah lain sebagai persediaan menghadapi fenomena banjir yang dijangka boleh berlaku mulai akhir November ini hingga Mac tahun depan.

Begitu juga negeri Kedah dan Negeri Sembilan. Bantuan sebanyak RM1,000 telah disalurkan kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang telah berpindah ke PPS. Bantuan RM 500 kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Negeri Sembilan juga turut disediakan.

Ditambah pula dengan Kerajaan Persekutuan juga telah bersetuju untuk memberikan bantuan RM1,000 kepada KIR yang terjejas di seluruh negara dan kerajaan negeri juga akan menambah RM1,000 kepada semua KIR , menjadikan mereka mendapat bantuan sebanyak RM2,000.

Namun begitu, negeri Kedah masih memerlukan sedikit perbincangan penambahbaikan dari segi pengagihan bantuan disebabkan ada beberapa kes penipuan penerimaan bantuan secara berganda.

Bonus Penjawat Awam 

Banjir
Anwar (dua dari kanan) dan Ahmad Samsuri (kanan) meninjau situasi banjir di Kampung Mangkok, Setiu. Kosmo!

Seramai 14,000 penjawat awam Terengganu bakal menerima bonus sebanyak RM500. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam negeri tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan RM7.4 juta.

Katanya selepas meninjau situasi banjir di daerah Setiu:

“RM7.4 juta (peruntukan pembayaran bonus) ini asing daripada peruntukan menangani banjir, penjawat awam Terengganu wajar menerima ganjaran RM500 terbabit bagi terus fokus memberi perkhidmatan kepada rakyat.”  

Bantuan ini biasanya akan disalurkan secara automatik kepada penjawat awam negeri melalui gaji mereka. Penjawat awam disarankan mengikuti pengumuman rasmi kerajaan negeri atau jabatan masing-masing untuk tarikh dan butiran tambahan.

Bagi penjawat awam yang mungkin tidak tersenarai atau menghadapi masalah penerimaan, mereka dinasihatkan untuk menghubungi Bahagian Kewangan Negeri atau jabatan sumber manusia organisasi mereka.

BACA  Nak insurans kereta & motosikal yang banyak manfaat tapi berpatutan? Ini pilihan tepat untuk korang

Dokumen sokongan seperti surat pengesahan jawatan mungkin diperlukan bagi memastikan kelayakan sah. Untuk maklumat lanjut, penjawat awam boleh merujuk pengumuman rasmi kerajaan negeri Terengganu di laman web Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Peruntukan Khas Banjir MAIWP

Banjir
MAIWP peruntuk RM6 juta bantu mangsa banjir, sumber: Pinterest

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga diminta menyegerakan pemberian bantuan kepada mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, penyaluran segera sumbangan menerusi peruntukan khas banjir bernilai RM12 juta sangat penting dalam keadaan yang mendesak ketika ini.

Bagi mangsa yang dipindahkan ke PPS, bantuan akan disalurkan secara automatik melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

Bagi mangsa yang tidak ditempatkan di PPS, permohonan boleh dibuat melalui Pejabat Daerah setempat. Mereka akan menguruskan pendaftaran dan penyaluran bantuan kewangan dan keperluan asas.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang cara memohon dan apakah dokumen yang diperlukan, anda boleh merujuk kepada MAIWP atau Pejabat Daerah di kawasan anda.

Anda juga boleh menghubungi talian bantuan yang disediakan oleh NADMA atau pihak berkuasa tempatan untuk sebarang pertanyaan lebih lanjut

Tetap Mengutamakan Keselamatan Diri dan Keluarga Terlebih Dahulu

Sumber: Pinterest

Ketika mana kita sibuk memikirkan keselamatan kewangan demi kelangsungan hidup, wajib bagi kita untuk tetap mengutamakan keselamatan nyawa terlebih dahulu. 

Jika kehilangan jiwa berlaku, maka apalah ertinya harta yang masih tersisa. Nasihat dan panduan yang diberikan pihak berkuasa yang bertugas juga perlu sentiasa dipatuhi agar tiada masalah yang tidak diingini berlaku.

Namun begitu, bagi meminimumkan kesan buruk dan mengubat sedikit sebanyak duka bagi mereka yang terkesan, makluman terhadap bantuan yang disediakan juga perlu disampaikan.

Sekurang-kurangnya, dalam kehilangan yang dialami mangsa, masih ada tempat bersandar yang boleh mereka harapkan untuk terus bertahan hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *